suria

Fitnah cerai uji kesabaran Engku Emran, syukur ada ustaz tergerak hati hubungi bagi nasihat

Emran kesal dengan fitnah yang dilempar netizen.

KEGAGALAN rumah tangga buat kali ketiga membuatkan usahawan Engku Emran berasa sedikit tertekan apabila timbul pelbagai spekulasi daripada netizen.

Mengakui hal ini benar-benar menguji kesabarannya, Emran atau Engku Emran Engku Zainal Abidin, 48, bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila dihubungi oleh seorang kenalan bergelar ustaz bagi berkongsi luahan hatinya itu.

"Fitnah-fitnah yang bertebaran tentang penceraian kali ketiga ini betul-betul menguji kesabaran saya.

"Allah menggerakkan hati ustaz untuk hubungi saya di saat saya memerlukan nasihat ustaz," katanya.

em4 - 1

Perkongsian Emran di Instastory.

Emran berkongsi paparan skrin mesej perbualannya bersama seorang agamawan menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instastory.

Dalam pada itu, Emran menzahirkan kerisauan terhadap bapa dan anak perempuannya yang turut terpalit dengan segala fitnah dilemparkan.

Malah, usahawan itu turut bimbang sekiranya masyarakat di luar sana termakan dengan spekulasi yang dibuat oleh netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Engku Emran dan Noor Nabila cerai talak satu

ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan dengan Noor Nabila bukan kegagalan, ia sudah tertulis - Engku Emran

"Saya kasihan dengan ayah dan anak saya yang terpaksa menghadap fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada saya.

"Masyarakat diluar yang tidak bersalah akan sedikit sebanyak termakan dengan cerita-cerita sampah yang diadakan oleh netizen," ujarnya.

Sementara itu, Emran terpanggil untuk berkongsi nasihat yang diterima kepada masyarakat kerana menyifatkan setiap individu mempunyai dugaan hidup masing-masing.

Tambah Emran, nasihat yang diberikan ini mungkin boleh dikongsi buat mereka yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

em3 - 1

Emran tidak mahu Aleesya turut terkena tempias dengan fitnah dibuat.

"Saya mencari ruang keselesaan dan kebijaksanaan daripada mereka (ustaz)... jadi saya rasa tidak salah sekiranya berkongsi nasihat yang diberikan kepada orang ramai.

"Tidak kiralah masalah pekerjaan, kewangan, keluarga atau peribadi... saya rasa semua orang boleh relate dengan nasihat yang diberikan oleh ustaz ini," katanya.

Sebelum ini, Emran memohon orang ramai menghentikan spekulasi berkenaan rumah tangganya bersama bekas isteri iaitu Noor Nabila Mohd Noor yang sedang hangat diperkatakan.

Kata Emran, dia pernah memberitahu Nabila bahawa ketiga-tiga perkahwinan mereka sebelum ini bukanlah satu kegagalan, namun masih perlu mencari kebahagiaan masing-masing.

Pada Isnin lalu, Emran melafazkan talak satu terhadap Nabila di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pasangan ini akhirnya bercerai selepas Nabila mendedahkan mereka bakal bercerai selepas tidak lagi tinggal sebumbung sejak Januari lalu.

em2 - 1

Emran dan Nabila bercerai talak satu.

Untuk rekod, Nabila dan Emran bernikah pada 19 Mac 2021 dan ia merupakan perkahwinan ketiga buat Nabila selepas berpisah dengan Sharnaaz pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan dengan Sharnaaz, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia lima tahun.

Sementara itu, Emran pula pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penyanyi Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 namun bercerai selepas tujuh tahun melayari alam rumah tangga dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 14.

Emran kemudiannya berkahwin dengan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September 2017 dan bercerai pada 2020.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain