NAMANYA pernah tular kerana nyanyian sumbang di pentas Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23), penyanyi Keisya Levronka menganggap perkara itu merupakan hal terburuk yang pernah berlaku sepanjang karier seninya. Keisya, 20, berkata situasi yang berlaku itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap dirinya, tambahan pula ketika itu dirinya masih terlalu muda untuk menerima segala kritikan tersebut. Bagaimanapun penyanyi itu menganggap ia adalah satu pengalaman dan pengajaran untuk menjadi lebih matang dalam kerjaya nyanyian. "Ketika suara saya dikritik pada waktu itu saya juga masih muda. Tetapi tidak mengapa, ia pun berlaku, tidak ada apa yang saya boleh lakukan lagi. Keisya tidak patah semangat biarpun cara nyanyiannya dikritik. "Itu adalah antara pengalaman paling berat yang pernah saya alami, apatah lagi waktu itu saya baru berusia 19 tahun," katanya kepada mStar. Keisya berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Terbuai Pilu bersama Keisya Levronka yang dilakukan secara maya pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: 'Terkucil' nyanyi live, Keisya Levronka terlalu gementar sampai hilang nafas... Bakal duet lagu baharu dengan Nabila Razali ARTIKEL BERKAITAN: Keisya Levronka puji vokal Nabila Razali, versi duet 'Tak Ingin Usai' hadiah buat peminat Pada September tahun lalu, Keisya menerima kritikan hebat selepas ‘terkucil’ ketika membuat persembahan siaran langsung menyanyikan lagu Tak Ingin Usai di AIM23. Ketika ditemu bual mStar, Keisya mengakui dirinya terlalu gementar sehingga persembahannya di AIM23 kurang memuaskan. Penyanyi itu berkata dia enggan ambil pusing dengan apa jua kritikan atau komen negatif netizen. Itu adalah antara pengalaman paling berat yang pernah saya alami. KEISYA LEVRONKA PENYANYI Bercakap mengenai konsert yang bakal dianjurkan, Keisya berkata ia menampilkan perjalanan hidupnya yang penuh berliku dan cabaran menerusi beberapa pilihan lagu berentak balada. Tambah Keisya, konsert sulungnya itu juga berkonsepkan teater yang penuh dengan drama bagi menghiburkan penonton. "Saya tidak mahu berkongsi lebih lanjut tentang kejutan konsert itu nanti... tetapi apa yang saya boleh katakan ia adalah sebuah filem yang diterjemah kepada konsert. "Akan ada cerita-cerita perjalanan hidup, suka duka yang berlaku kepada saya," ujarnya. Memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk menganjurkan konsert, Keisya turut mengakui dia dimarahi segelintir peminat dari Indonesia. Keisya bakal menghiburkan peminat di Malaysia pada Oktober ini. Kata Keisya, dirinya mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat keputusan ini dan percaya masih ramai peminat yang akan memberikan sokongan terhadap kerjaya nyanyiannya. "Saya akui memang ada peminat yang marah tetapi tidaklah terlalu keterlaluan. Mereka cuma marah kenapa tidak mengadakan konsert di Indonesia terlebih dahulu. "Penganjur dari Malaysia terlebih dahulu memberikan saya peluang ini... lagi pun saya sudah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua," katanya. Konsert Terbuai Pilu Keisya Levronka ini bakal berlangsung pada 28 Oktober ini di Zepp Kuala Lumpur dan tiket sudah mula dijual dengan harga bermula RM188 sehingga RM598. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!