PENYANYI Datuk M Nasir sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya yang dijangka akan menemui peminat pada penghujung tahun ini. M Nasir atau Mohamad Nasir Mohamed, 66, berkata, karya terbaharunya itu mengambil tempoh lama untuk disiapkan kerana tidak mendapat inspirasi selain mengambil kira perubahan muzik semasa. "Saya sedang dalam proses pembikinan album baru tapi belum siap lagi. Saya harap album ini akan siap pada penghujung tahun ini selepas mengambil masa empat tahun mencari inspirasi. "Kalau dulu mungkin banyak inspirasi tetapi sekarang muzik itu berubah dengan cepat... Faktor terikat dengan kerja-kerja lain turut membuatkan prosesnya perlahan," katanya kepada mStar. M Nasir sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya. Dalam pada itu, penyanyi lagu Mentera Semerah Padi ini juga berdepan dengan kebimbangan untuk memuaskan hati peminat dalam karya terbaharunya itu nanti. Kata M Nasir, dia bimbang sekiranya dia membuat perubahan yang ketara ia tidak akan memenuhi citarasa penggemarnya memandangkan mereka sudah terbiasa dengan lagu-lagu sebelum ini. "Peminat sudah terbiasa dengan muzik yang saya bawa dan saya jadi bimbang sama ada mereka boleh terima perubahan... Itu membuatkan album ini mengambil masa lama untuk disiapkan. ARTIKEL BERKAITAN: M Nasir pula positif Covid-19, isteri maklumkan keadaan kesihatan stabil ARTIKEL BERKAITAN: Lagu ‘viral’ ganggu seniman serius berkarya - M. Nasir "Pendengar sentiasa berharap saya akan melancarkan lagu-lagu yang sedap macam dulu tapi yang dulu itu, waktunya sudah 'habis'," luahnya. Dalam perkembangan lain, M Nasir bakal mengubat rindu peminatnya menerusi konsert Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur pada 18 November depan. M Nasir berkata, konsert kali ini lebih menarik apabila ia turut memberikan penekanan kepada gubahan gendang nusantara dalam susunan muzik. Kalau dulu mungkin banyak inspirasi tetapi sekarang muzik itu berubah dengan cepat. DATUK M NASIR PENYANYI "Kali ini kita beri penekanan kepada gubahan gendang dalam muzik yang saya dah cipta yang kebanyakannya mempunyai irama yang boleh ditarikan seperti dalam lagu Mentera Semerah Padi, Ada dan beberapa lagu lain. "Semua lagu-lagu dengan irama yang boleh ditarikan dan dinyanyikan beramai-ramai akan ada unsur dramatik yang akan kita gubah dalam persembahan kali ini," katanya. Konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu bakal mendendangkan kira-kira 20 buah lagu. M Nasir ubati rindu peminat dengan konsert Gendang Pati. Ia juga akan dibarisi pemuzik-pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang dalam karier muzik M Nasir diketuai pengrah muzik dan pemain gitar iaitu Nan Alias, Rafi Mohd (gitar rhythm), Norman (bass), Firdaus Mahmud dan Eddie Slam (keyboard) serta Ujang Exists (dram). Konsert itu turut diiringi empat penyanyi latar iaitu Eja, Widy, Yuaz dan Awe. Turut terlibat adalah Pa'ang (pemain perkusi utama), Mat Din (perkusi tradisional), Che Long (pemain perkusi), Anas dan Awe selaku pemain perkusi, rebab dan serunai. Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet) dan ia boleh ditempah menerusi laman web MyTicket.Asia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!