suria

“Kali terakhir kita berjumpa 2016...” - Karakter Elly Mazlein berubah di All Stars Gegar Vaganza, penonton mahu Kak Lina Pom Pom kembali

Elly Mazlein tidak lagi tampil sebagai Kak Lina Pom Pom.

KEMUNCULAN Elly Mazlein pada minggu kedua program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada malam Ahad mencuri perhatian ramai apabila pengacara itu tidak lagi muncul sebagai Kak Lina Pom Pom yang terkenal dengan karakter agresif dan gedik.

Selepas membuat persembahan pembukaan bersama pasangan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse menerusi lagu Pujaanku, Elly memperkenalkan dirinya sebagai Elly M dan bukannya Kak Lina Pom Pom.

"Boleh panggil saya Elly M atau Elly Mazlein," katanya ringkas.

Bagaimanapun, penonton di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersorak tanda menginginkan pengacara itu menjadi dirinya semula menerusi persona Kak Lina Pom Pom.

EM3

Ketiga-tiga pengacara ini tampil dengan persembahan lagu Pujaanku.

Dalam pada itu, Elly ketika memperkenalkan barisan juri turut mengingatkan Datuk Ramli MS kali terakhir mereka bertemu pada 2016 ketika dia bertanding menerusi musim ketiga Gegar Vaganza.

"Apa khabar Datuk? Kali terakhir kita berjumpa 2016. Datuk ingat lagi tak?," ujarnya.

Pun begitu, pertanyaan Elly itu disambut dengan ketawa daripada Ramli yang geli hati melihat telatah Elly dan memberitahu dia tidak mahu mengingati masa lalu.

Manakala Datuk Syafinaz Selamat pula mahukan Kak Lina Pom Pom sebagai hos program itu dan bukannya seorang Elly Mazlein.

ARTIKEL BERKAITAN: Kak Lina umum undur diri Gegar Vaganza, sudah tiba masa Elly Mazlein jaga hati netizen... "Minta maaf segala khilaf"

ARTIKEL BERKAITAN: Jihan Muse kembali, Elly Mazlein kekal hos All Stars Gegar Vaganza bersama Nabil Ahmad

“Saya mahu Kak Lina kembali semula dalam ASGV,” katanya.

Sebelum ini, Elly memberitahu dia mengambil serius segala pandangan dikongsikan oleh penonton yang mengkritik cara dia mengendalikan program itu.

Kata Elly, selepas membaca komen diberikan, dia mengambil keputusan untuk tidak lagi beraksi dalam program berkenaan sebagai Kak Lina.

Pengacara itu bagaimana pun tidak menyalahkan mana-mana pihak dan mengakui kesilapan dirinya jika ada kekurangan ketika mengacarakan program berkenaan.

EM

Elly Mazlein turut memperkenalkan dirinya sebagai Elly M.

Elly turut menjelaskan niat sebenar dirinya adalah untuk menghiburkan penonton tetapi tidak menyangka ia mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan penonton.

Pada konsert pertama ASGV, rata-rata netizen meluahkan ketidakpuasan hati terhadap gabungan tiga pengacara iaitu Nabil, Jihan dan Elly di atas satu pentas.

Segelintir netizen menyifatkan gandingan Nabil dan Jihan sudah memadai untuk menggamatkan program realiti berkenaan.

Dalam perkembangan sama, pihak Astro turut akur dengan permintaan netizen sebelum ini yang mencadangkan setiap hos diberi giliran untuk beraksi dalam segmen berbeza dan bukannya mengandingkan ketiga-tiga hos serentak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain