suria

Nabil Ahmad terkejut, tak tahu Elly Mazlein undur diri mengacara All Stars Gegar Vaganza

Keputusan Elly mengejutkan Nabil.

TINDAKAN Elly Mazlein mengumumkan tidak lagi terlibat mengendalikan program realiti All Stars Gegar Vaganza (ASGV) benar-benar mengejutkan rakan pengacara, Nabil Ahmad.

Masih belum mendapat penjelasan lanjut berhubung perkara itu, Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 40, mengakui terkejut selepas membaca berita berkenaan di sebuah portal berita.

"Saya tahu cerita ini pun dekat portal berita. Saya masih belum dimaklumkan mengenai pengunduran diri Elly.

Nabil 2

Kak Lina, Nabil dan Jihan mengendalikan program ASGV.

"Selalunya hari Sabtu baru kami akan dapat tahu apa-apa sebarang berita. Ia agak memeranjatkan saya," katanya kepada mStar pada Rabu.

Dalam pada itu, Nabil mengakui dirinya berada dalam keadaan keliru sama ada berita tersebut adalah benar ataupun sekadar gimik untuk program berkenaan.

Ini kerana sebelum ini Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina pernah mengumumkan untuk mengundur diri namun masih beraksi di pentas berkenaan dengan watak berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi Elly Mazlein di pentas All Stars Gegar Vaganza, umum undur diri atas sebab peribadi

ARTIKEL BERKAITAN: Kak Lina umum undur diri Gegar Vaganza, sudah tiba masa Elly Mazlein jaga hati netizen... “Minta maaf segala khilaf”

"Saya pun masih keliru dengan berita ini. Saya masih belum tahu kebenaran cerita ini," ujarnya.

Sementara itu, Nabil berkata jika berita ini benar, dia semestinya akan merindui jenaka dan teletah bersahaja Elly.

Nabil 3

Kak Lina umum undur diri dari mengacara ASGV pada Rabu.

Malah, dia masih mengharapkan agar boleh sepentas bersama Elly dan Jihan Muse mengendalikan program berkenaan sehingga episod akhir.

"Saya mestilah nak lagi berpasangan dengan dia (Kak Lina). Kalau berita ini betul, saya akan rindu gelagat-gelagat dia nanti," katanya.

Terdahulu, Elly diumumkan tidak lagi terlibat untuk mengendalikan program ASGV.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro iaitu Raqim Ahmad memberitahu Elly membuat keputusan mengundurkan diri atas sebab-sebab peribadi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain