suria

Ameng imbau berbaris telanjang kena 10 sebatan, tangan dan kepala dipasung - “Kalau gajah pun lari”

Pengalaman menjalani hukuman sebatan masih segar dalam ingatan Ameng.

HUKUMAN penjara yang dilalui selama enam tahun akibat kesalahan memiliki dadah pada 2011 masih berbekas di hati penyanyi Ameng Spring.

Ini termasuk pengalaman menjalani hukuman 10 sebatan yang mana kata Ameng rasa sakitnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Mengimbau hukuman itu, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 53, berkata, masih segar dalam ingatannya kesemua pesalah perlu berbaris dalam keadaan berbogel menanti giliran sebelum dikenakan hukuman sebat.

ameng 2

Ameng disambut isteri dan anak selepas keluar penjara pada tahun 2016.

"Hukuman hanya dijalankan sehari dalam seminggu iaitu pada hari Khamis. Bagi hukuman sebat maksimum dikenakan hanya 22 sebatan sehari.

"Jadi untuk saya yang kena 10 sebatan, hanya dilakukan dalam tempoh sehari sahaja.

"Kita (banduan) beratur panjang sebelum masuk ke bilik hukuman dalam keadaan telanjang. Apabila sampai giliran, tangan dan kepala akan dipasung sebelum sebatan dibuat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng Dihukum Penjara Lapan Tahun Dan 10 Sebatan

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Sebak Ameng Akhirnya Bebas Dari Penjara

Ameng berkongsi butiran hukuman itu ketika hadir menjadi tetamu radio Molek FM pada 4 Oktober lalu.

Bercerita mengenai pengalaman disebat menggunakan rotan diperbuat daripada buluh itu, Ameng berkata, sekali sebatan sudah cukup menyakitkan namun tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Kalau gajah kena pun lari," katanya.

Sepanjang berbaris (menanti giliran) saya dapat dengar suara orang menjerit apabila disebat

AMENG SPRING

PENYANYI

Dalam pada itu, berkongsi hukuman itu, Ameng berkata, ketika tiba gilirannya, dia melihat darah memenuhi atas lantai selain cebisan kulit milik pesalah terdahulu.

Cerita Ameng, walaupun tidak dapat melihat pesalah terdahulu menerima sebatan, namun daripada luar bilik hukuman mereka dapat mendengar suara jeritan apabila rotan dihayunkan.

"Masa masuk dalam bilik itu saya lihat darah dan cebisan kulit di atas lantai. Macam melihat tempat kemalangan.

ameng 3

Ameng terus aktif dalam bidang seni sehingga kini.

"Bayangkan pesalah sebelum saya menerima 16 sebatan!

"Sepanjang berbaris (menanti giliran) saya dapat dengar suara orang menjerit apabila disebat," ceritanya.

Untuk rekod, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011, atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.

Dia didakwa memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine.

Bagi semua pertuduhan dia dikenakan hukuman penjara lapan tahun serta 10 sebatan.

Ameng yang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor bagaimanapun dibebaskan selepas enam tahun menjalani hukuman penjara kerana berkelakuan baik pada Jun 2016.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain