suria

Kandungan sudah masuk 7 bulan, Ayu Damit tak boleh duduk diam... Lepas pantang pun jadual dah penuh

Ayu Damit bakal bersalin pada pertengahan Disember depan.

SARAT hamil anak keempat tidak menghalang penyanyi Ayu Damit tetap bergerak aktif menerima undangan nyanyian selain sibuk menguruskan perniagaan serta menghadiri kuliah.

Ayu atau Norayu Damit, 33, berkata, meskipun kehamilan kali ini agak meletihkan namun dia tidak menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk duduk diam tidak berbuat apa-apa.

Malah dalam keadaan kandungannya memasuki usia tujuh bulan, jadual kerjanya sudah pun disusun sehingga awal Disember sebelum dijangka bersalin pada pertengahan bulan berkenaan.

"Kalau nak duduk diam pun tidak boleh juga. Walau kali ini agak penat, tetapi saya tetap bekerja. Undangan nyanyian pun saya masih terima namun tak ambil yang terlalu membebankan.

ayu damit 2

Jadual kerja Ayu pada sehingga awal Disember.

"Lepas tempoh berpantang nanti pun saya akan memulakan semester baru pengajian saya. Jadi memang tiada istilah rehat buat masa sekarang.

"Mungkin seminggu sebelum bersalin barulah saya akan betul-betul ambil masa berehat," katanya ketika ditemui mStar.

Apa lebih penting kata Ayu adalah sentiasa menjaga kesihatan selain menyusun jadual harian dengan baik supaya sesi pembelajaran di Akademi Seni Buddaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tidak terabai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun menanti... Ayu Damit sanggup keluar modal sendiri demi ‘Kejam’

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya tamat pengajian dengan keputusan cemerlang, Ayu Damit terkejut suami kota janji beri hadiah telefon dan jam tangan

Bercakap tentang kehamilan kali ini, Ayu memberitahu ia sedikit berbeza memandangkan kali terakhir dia hamil adalah lapan tahun lalu.

Tidak menyangka bakal dikurniakan seorang lagi cahaya mata, penyanyi ini juga teruja memulakan kembali rutin menjaga anak kecil.

Walau kali ini agak penat, tetapi saya tetap bekerja

AYU DAMIT

PENYANYI

"Masa awal kehamilan memang terkejut dan kekok kerana tidak rancang untuk hamil lagi. Banyak perkara yang saya perlu belajar kembali maklumlah dah lama tak hamil, jadi banyak perkara sudah lupa.

"Dalam masa sama saya juga amat teruja. Kami sudah buat imbasan jantina bayi namun biarlah saya rahsiakan terlebih dahulu," ujarnya.

Ayu juga berharap dapat melalui proses bersalin secara normal tanpa pembedahan.

ayu damit 3

Ayu harap urusan bersalin dipermudahkan.

"Kalau bersalin secara pembedahan ambil masa lama untuk pulih. Saya akan sibuk selepas bersalin nanti. Jadi harap dapatlah bersalin secara normal.

"Persiapan barang bayi juga belum dibuat sebab agak sibuk dengan pengajian dan menghadiri undangan persembahan pada hujung minggu," jelasnya.

Untuk rekod Ayu mendirikan rumah tangga dengan Syed Fauzi pada 2009 dan dikurnakan tiga orang cahaya mata iaitu Syed Nashrul Haikal, 14, Sharifah Alya Aryana, 11, dan Syed Aqif Najmi, 8 tahun.

Dalam perkembangan lain, Ayu antara barisan artis yang bakal menjayakan program Malam Gala Amal Runway Fesyen Warisan pada 4 November 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain