suria

Aedy Ashraf tiada SPM, berhenti sekolah ketika usia 16 tahun... Pilih kerja berbanding pelajaran sebab keluarga susah

Aedy Ashraf mengorbankan pelajaran demi ibu dan kakaknya.

PELAKON Aedy Ashraf mendedahkan dia terpaksa berhenti sekolah ketika berada di tingkatan empat demi menyara keluarganya yang dalam kesusahan ketika itu.

Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, berkata, meskipun ia keputusan paling sukar pernah dibuat dalam hidup namun dia terpaksa membuat pilihan itu demi keluarga.

Jelasnya, tidak mudah membahagikan masa jika dia perlu melakukan dua perkara dalam satu masa dan keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan ibunya yang juga pelakon Liza Zain.

"Waktu itu umur saya baru 16 tahun... Kalau saya lakukan dua-dua perkara itu (belajar dan berlakon) saya akan gagal melakukannya.

aedy2 - 1

Aedy mendedahkan kisah silamnya ketika muncul dalam siri podcast Studio Sembang.

"Kalau saya pilih untuk teruskan persekolahan jadi kita tidak akan ada duit nak makan sebab kalau sekolah saya tak boleh shooting langsung," katanya.

Aedy berkongsi perkara itu ketika muncul dalam program Studio Sembang yang dikendalikan oleh pelakon Amelia Henderson di YouTube.

Pelakon drama Budak Tebing ini memberitahu selepas berhenti sekolah dia memang memberi fokus sepenuhnya dalam bidang lakonan termasuk aktif menghadiri pelbagai uji bakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Salah sendiri kongsi video bersama, Amelia tak melenting gosip bakal kahwin Aedy Ashraf

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aedy Ashraf ke Cannes demi sokong Amelia, sedang bahagia tapi serah soal jodoh pada takdir

Imbau Aedy, dia pernah menghadiri uji bakat seorang diri dengan menaiki pengangkutan awam selain bersungguh-sungguh mendalami ilmu lakonan bagi memastikan produksi mengupahnya.

"Apabila saya mula berlakon, saya betul-betul memberi fokus, pergi uji bakat walaupun terpaksa naik pengangkutan awam seorang diri.

"Sebab itu saya bersungguh-sungguh pada lakonan selain banyak belajar termasuk memperbanyakkan membaca tentang ilmu lakonan," jelasnya.

Tidak pernah menyesal dengan keputusan dibuat, Aedy sebaliknya berbangga dengan pengorbanan dilakukan kerana dapat meringankan serta memperbaiki mutu kehidupan mereka sekeluarga.

Aedy

Aedy bersyukur kehidupannya lebih baik sekarang.

Tidak hanya itu, Aedy berkata, hasil lakonan diterimanya dapat membantu membiayai yuran pengajian kakaknya di kolej.

"Saya pernah cakap dengan ibu biar saya cari duit, bagi peluang kakak sambung belajar. Saya bayar yuran pengajiannya di kolej.

"Ketika itu umur saya baru 17 tahun manakala kakak pula 19 tahun. Itu keputusan paling sukar saya buat dalam hidup tapi saya gembira," ujarnya.

Sementara itu, Aedy berkata, dia sedar akan kepentingan pendidikan namun waktu itu dia tidak mempunyai pilihan apabila mengenangkan keluarga dilanda masalah kewangan.

Aedy berkongsi pengorbanan yang dibuat demi keluarga.

Jika ada pilihan Aedy mahu meneruskan pelajaran.

Kata Aedy, melihat kejayaan dikecapi hari ini membuatkan pengorbanan dilakukan sebelum ini terbayar namun menegaskan sekira ada pilihan serta kemampuan dia akan memilih pelajaran berbanding lakonan.

"Saya rasa segala usaha saya terbayar sekarang... Saya tak kata yang saya bangga kerana tidak pergi sekolah, tiada SPM.

"Saya tahu pelajaran penting dan kalau pada waktu itu saya ada wang, saya akan terus belajar.

"Masalah utama keluarga kami (ketika itu) adalah kewangan, memang tak ada duit langsung," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain