suria

Paparan kekejaman Israel buat penonton menangis, Liza Hanim ‘struggle’ teruskan persembahan teringat anak-anak

Liza Hanim mengakui sukar menyelesaikan persembahannya di ASGV.

PENYANYI Liza Hanim memberitahu persembahan minggu kelima di All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada malam Ahad yang didedikasikam kepada umat Islam di Palestin paling sukar buat dirinya.

Menurut Liza atau Haliza Abdul Halim, 44, sebagai seorang ibu hatinya tidak dapat menahan sebak apabila melihat tindakan biadab dan kejam pihak zionis yang turut melibatkan kanak-kanak.

“Sebagai seorang ibu, saya sangat tersentuh. Sangat struggle persembahan ini sebab saya sangat terkesan.

Liza Hanim 1

Sebagai seorang ibu, Liza sebak terhadap kejadian yang menimpa di Palestin.

“Apa yang saya mahukan, teruskan berdoa. Pada yang ada anak, peluk anak dengan lebih erat dan terus bersyukur kerana kita bersama dengan mereka,” katanya.

Menerusi persembahan itu, air mata penonton turut mengalir selepas tersentuh dengan persembahan dipaparkan.

Mempertaruhkan lagu Kembali Terang nyanyian asal Marsha Milan, Liza turut memaparkan skrin memperlihatkan foto mangsa kekejaman Israel terhadap Palestin ketika ini.

Bukan sahaja penonton, hos ASGV iaitu Jihan Muse dan juri profesional Hetty Koes Endang turut menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa umat Islam di bumi bergolak itu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ku Mohon’ doa buat bumi bergolak, pembukaan All Stars Gegar Vaganza minggu kelima dedikasi buat Palestin

ARTIKEL BERKAITAN: Sophia Albarakbah tak rasa dirinya muncul dalam mimpi Shila Amzah, ia hanya andaian hebat netizen

Persembahan itu juga mendapat pujian daripada juri tetap, Hetty Koes Endang kerana menyifatkan Liza berjaya membawakan emosi sedih kepada penonton.

“Emosi kamu berjaya bawa. Namun, kemerduan itu juga harus ada.

“Hari ini ada sedikit yang kamu tidak sampai. Ada note yang tak duduk ditempatnya,” tegur juri dari Indonesia itu.

Bagaimanapun Liza mendapat markah tertinggi iaitu sebanyak 70.50 peratus, diikuti Naqiu (69.75 peratus) dan Jaclyn Victor berada di kedudukan ketiga (69 peratus).

Liza Hanim 2

Liza Hanim merupakan peserta mendapat markah tertinggi pada minggu kelima.

ASGV pada musim ini menampilkan 16 finalis yang mana 10 daripadanya adalah juara daripada musim lalu manakala enam lagi adalah pilihan peminat.

Program realiti itu menampilkan Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein sebagai pengacara manakala Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz Selamat kembali sebagai juri.

ASGV berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung setiap Ahad, pukul 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain