PENYANYI Bad Indigo dilaporkan meninggal dunia di tempat kerjanya di Ampang, Selangor, kira-kira pukul 7 malam, Khamis. Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun. Berita sedih itu disahkan oleh penyanyi Liza Hanim yang memaklumkan mendapat khabar tersebut daripada rakan-rakan suaminya iaitu Shah yang juga merupakan anggota Indigo. Berita kematian Bad mengejutkan dunia hiburan. "Saya dapat tahu dari rakan-rakan. Arwah meninggal di tempat kerja. Punca kematiannya saya pun masih belum tahu. "Saya dan suami dalam perjalanan ke sana. Kami masih terkejut dengan berita itu," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Ada orang takut nak tegur OKU... Bad Indigo bimbang hidup susahkan masyarakat sekeliling ARTIKEL BERKAITAN: Sudah 2 tahun Bad Indigo tak jejak bazar Ramadan kerana tiada parkir OKU... “Saya cuma rindu nak ke sana” Liza sewaktu bercakap dengan mStar berkata, jenazah masih berada di tempat kejadian dan sedang diuruskan oleh pihak paramedik. Sementara itu, sahabat kepada Allahyarham yang mahu dikenali sebagai Panjang memberitahu Bad rebah secara tiba-tiba sebelum pulang ke rumah. Malah dia masih belum mempunyai maklumat mengenai punca kematian sebenar dan sedang menunggu siasatan pihak berkuasa. "Arwah meninggal di tempat kerja. Dia tiba-tiba sesak nafas sebelun balik kerja. Sekarang pihak polis masih jalankan siasatan. "Urusan pengebumian akan dimaklumkan pihak keluarga," jawabnya ringkas. Untuk rekod, Bad bersama Indigo memulakan kerjaya seni mereka sekitar tahun 1996 dan kumpulan ini popular menerusi lagu-lagu seperti Kenang Dirimu serta Masih Seperti Dulu. Kumpulan ini juga pernah menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh dan semasa itulah Bad bertemu jodoh dengan penyanyi Ashira. Bad mendirikan rumah tangga bersama Ashira pada Mac 2021. Mereka mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 namun berpisah pada Jun 2022. Bad juga pernah berkahwin sebelum itu dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Pada Januari 2021, Bad terpaksa menjalani pembedahan secara berperingkat memotong jari kaki kirinya yang luka akibat penyakit diabetes di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Biarpun pergerakkannya terbatas, Bad sedaya upaya cuba untuk menguruskan diri sendiri tanpa mahu menyusahkan individu lain. Selain aktif menyanyi Bad juga bekerja tetap sebagai Pembantu jualan dan pemasaran di Reiber Auto yang terletak di Bukit Permai, Ampang, Selangor. Bad juga merupakan salah seorang selebriti yang terlibat dalam program mStar Baek dan rakaman episod mengenai kesengsaraan hidupnya baru sahaja ditayangkan pada Khamis iaitu berberapa jam sebelum berita sedih ini berlaku. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!