TERKEJUT dengan berita pemergian rakannya, anggota kumpulan Indigo iaitu Shah tidak menyangka Allahyarham Bad Indigo pergi secara tiba-tiba. Kata Shah atau Mohamed Shahrin Mohamed Samsudin, dia baru sahaja menyaksikan perkongsian rakannya itu di aplikasi TikTok pada petang Khamis sebelum mendapat khabar Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah meninggal dunia. "Memang saya terkejut sebab baru petang tadi nak dia kongsi video di TikTok. Berita pemergiannya itu secara tiba-tiba," katanya ketika dihubungi mStar pada malam Khamis. Bad meninggal dunia pada malam Khamis. Bad disahkan meninggal dunia sekitar pukul 7 malam, Khamis selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto, Bukit Permai, Ampang, Selangor. Sementara itu, Shah berkata dia terkilan kerana arwah tidak sempat menunggu lagu terbaharu Indigo yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Bad Indigo meninggal dunia di tempat kerja ARTIKEL BERKAITAN: Ada orang takut nak tegur OKU... Bad Indigo bimbang hidup susahkan masyarakat sekeliling Malah dia bersama seorang lagi anggota Indigo iaitu Zam juga sudah lama tidak berjumpa dengan arwah itu. "Kami dah lama tidak berjumpa. Rakam lagu pun secara berasingan sebab masing-masing sibuk. Kami hanya berbual dalam sesi live di Instagram sahaja baru-baru ini. Kumpulan Indigo baru siap merakamkan lagu. "Arwah seronok sangat nak lancarkan lagu baru, tetapi tidak berkesempatan," ujarnya. Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya untuk pengurusan dan pengebumian dijangka di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara selepas solat Jumaat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!