IBU kepada Bad Indigo menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak soleh yang banyak menabur bakti mengambil alih tugas menjaganya sejak kematian suami. Sharizan Abdul Ghani berkata, Bad merupakan juga tempat dia bergantung selain arwah individu yang akan membawanya ke mana sahaja tempat dia ingin pergi. "Dia (Bad) seorang anak yang sungguh soleh. Dia menjaga saya dengan baik sekali semenjak bapanya meninggal dunia. "Mana pun saya nak pergi dia yang bawa sebab itu saya terasa kehilangan dia," katanya kepada mStar. Bad meninggal dunia di tempat kerjanya pada petang Khamis. Sharizan berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas proses pengebumian Allahyarham kira-kira pukul 3.15 petang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada Jumaat. Dalam pada itu, Sharizan berkata, setiap hari dia akan menelefon anak lelakinya itu bagi mengetahui keadaan semasanya. Malah katanya, kali terakhir dia menelefon Bad sekitar pukul 6 petang Khamis sebelum menerima perkhabaran anak lelakinya itu sudah meninggal dunia. ARTIKEL BERKAITAN: Panggilan telefon sebelum meninggal perbualan terakhir Bad Indigo dan anak, hajat beli but bola tak kesampaian ARTIKEL BERKAITAN: Nyanyian terakhir Bad Indigo, ucapan ‘selamat tinggal’ tanda pergi selamanya "Tiap-tiap hari saya telefon tanya sudah balik ke, dah makan ke? Semalam pun dalam pukul 6 lebih saya telefon tanya dia... Bad beritahu dia balik lambat. Tak payah nak siapkan makan. "Apabila dapat tahu dia sudah tiada memang terkejut, saya akan rindu dia," katanya. Kira-kira pukul 7 petang Khamis, Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kerjanya yang terletak di Ampang, Selangor. Allahyarham dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah selain rebah akibat sesak nafas sebelum pulang ke rumah selepas tamat waktu kerja. Jenazah Allahyarham Bad selamat dikebumikan pada petang Jumaat. Selain aktif menyanyi Bad juga bekerja tetap sebagai pembantu jualan dan pemasaran di Reiber Auto yang terletak di Bukit Permai, Ampang, Selangor. Bad juga merupakan salah seorang selebriti terlibat dalam program mStar Baek dan rakaman episod mengenai kesengsaraan hidupnya baru sahaja ditayangkan pada Khamis iaitu berberapa jam sebelum berita sedih ini berlaku. Untuk rekod, selepas bercerai dengan isteri pertama, Bad bertemu jodoh dengan penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021 namun berpisah pada Jun 2022. Bad mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan pertama iaitu Rayyan, 14 dan Rania, 12 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!