suria

Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia

Badrul Muhayat menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun.

PELAKON Badrul Muhayat dilaporkan meninggal dunia ketika tidur di sebuah homestay di Pulau Pinang pada pagi Sabtu.

Badrul atau Badrul Muhayat Ahmad Jailani menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun.

Berita pemergian aktor berkenaan disahkan oleh rakan pelakon iaitu Anne Abdullah.

Menurut Anne, Badrul berada di Pulang Pinang bagi menyertai sebuah karnival namun didapati tidak sedarkan diri ketika isterinya iaitu Norhayati Zulkapli mengejutkan aktor itu daripada tidur.

1975215

Badrul meninggal dunia di sebuah homestay di Pulau Pinang.

“Punca kematian belum lagi disahkan. Saya rasa dia penat sangat berniaga... Banyak sangat karnival,” katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Anne memberitahu jenazah Badrul masih berada di homestay berkenaan dan sedang menunggu tindakan susulan yang bakal dibuat.

Kata Anne, jenazah berkemungkinan akan dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mencari punca kematiannya namun ia bergantung kepada insurans arwah.

Sekiranya arwah tidak mempunyai sebarang insurans, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor untuk dikebumikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia 55 tahun Badrul Muhayat masih jadi rebutan, ada rahsia kekal muda dan bertenaga... segan dipanggil hero kacak!

ARTIKEL BERKAITAN: Empat bulan berkenalan, Badrul Muhayat akhirnya disatukan dengan graduan England... Tarikh nikah sempena ulang tahun kelahiran

“Sekarang ini mereka semua berada di homestay sedang menunggu isterinya membuat laporan polis.

“Sekiranya Allahyarham mempunyai insurans, dia akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat namun jika tidak jenazah akan terus dibawa ke Johor untuk dikebumikan,” ujarnya.

Sebelum ini ketika ditemu bual mStar, Badrul merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bersama isteri secara kecil-kecilan pada Disember ini.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada 18 April lalu.

2033676

Badrul dan Norhayati bernikah pada 18 April lalu.

Tarikah pernikahan itu dipilih sempena memperingati ulang tahun kelahirannya.

Enggan berkongsi lebih terperinci mengenai wanita pilihannya itu, Badrul memaklumkan isterinya merupakan bekas graduan Universiti Liverpool, England.

Untuk rekod, Badrul pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali namun berakhir dengan penceraian.

Hasil perkahwinan itu, dia memiliki dua orang cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun yang kini menetap bersama bekas isteri.

Untuk rekod, Badrul memulakan karier sebagai pelakon pada 1990 selepas menyertai pertandingan Hero Remaja.

Antara filem lakonannya adalah Harry Boy, Azizah The Legend, Kad Cinta, Pesona Cinta dan Anaknya Sazali.

Filem terakhir lakonan Allahyarham adalah Cerana Biduk Bu Merah yang ditayangkan sejak 12 Oktober lalu.

Ia turut menampilkan barisan pelakon Fasha Sandha, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su dan Sarah Daewood.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain