suria

Tadika ‘Afwa Al Aafiyah’ jadi tempat perlindungan penduduk Gaza, Siti Nurhaliza tak putus doa buat Palestin

Siti dan suami membuka tadika Afwa Al Aafiyah tahun lalu di Gaza.

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan tadika Afwa Al Aafiyah yang dibina Yayasan Nurjiwa di Palestin masih berada dalam keadaan baik.

Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata, sekolah berkenaan juga kini dijadikan tempat perlindungan buat penduduk di Gaza yang sudah kehilangan tempat tinggal akibat diserang Israel.

Penyanyi itu juga memberitahu sentiasa berdoa kepada Allah agar tadika sempena nama anak-anaknya itu tidak dibedil bom oleh rejim zionis selain pelajar-pelajar di tadika berkenaan terselamat daripada keganasan Israel.

"Alhamdulillah sekolah saya masih selamat lagi dan sekarang ia menjadi penempatan untuk mereka yang tidak ada tempat tinggal berhampiran dengan kawasan tersebut.

Tadika Afwa Al Affiyah diambil sempena nama anak-anaknya.

Tadika Afwa Al Aafiyah itu bersempena nama dua anak Siti.

"Setiap solat saya berdoa semoga sekolah saya itu tidak dibom... Anak-anak (pelajar) saya tidak dibom dan cepatlah dihentikan peperangan ini.

"Kita semua merasai apa yang seluruh rakyat Palestin rasakan," katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi temu bual bersama Berita RTM yang disiarkan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sayunya hati saya"... Siti Nurhaliza terharu anak-anak Gaza sambut ulang tahun kelahirannya

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza dedah Elly Mazlein mahu sumbang RM10,000 buat Gaza, terharu sokongan rakan artis

Sebelum ini, Siti turut memuat naik di Instastory miliknya memaklumkan dia dan suami iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ada berhubung dengan kenalannya di Palestin iaitu Dr Mohanad bagi mengetahui perkembangan semasa di bumi bergolak itu.

Kata Siti dia mengikuti perkembangan di Gaza sehingga pukul 2 pagi dan tidak dapat membayangkan ketika rakyat Malaysia tidur nyenyak, masyarakat di sana diserang lebih dahsyat oleh rejim zionis.

“Semalam selesai majlis usrah, suami dan saya berhubung dengan Dr. Mohanad serta keluarga... Sampai pukul 2 pagi saya ikuti perkembangan di Gaza sampai mata terlelap.

Siti sentiasa mendoakan yang terbaik buat rakyat Palestin.

Siti tidak pernah lupa mendoakan kesejahteraan masyarakat di Gaza dalam setiap solat.

“Tak sangka sedang kita tidur... Gaza diserang lebih teruk,” ujarnya.

Pada Julai tahun lalu, Siti meluahkan rasa syukur apabila hasratnya untuk membuka sebuah sekolah di Gaza tercapai.

Sekolah itu menyediakan pendidikan awal dan hafazan al-Quran buat kanak-kanak sewal usia empat tahun.

Kata Siti, pihaknya memperuntukkan sekitar RM10,000 sebulan bagi menampung kos kakitangan, pengajar dan pengurusan sekolah selain membeli buku pelajaran serta makanan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain