SEORANG wanita menjadi peminat bertuah apabila dipanggil naik ke atas pentas sewaktu penyanyi Ariel menyanyikan lagu Ini Cinta menerusi Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur pada malam Sabtu. Ariel atau Nazril Irham Nazmul Irphan, 42, sebelum itu memberitahu dia memerlukan inspirasi untuk menghayati bait-bait lirik ketika mendendangkan lagu tersebut. Sebelum itu, paparan skrin gergasi di Mega Star Arena, Bukit Bintang menunjukkan tulisan 'pick up the flower' ketita Ariel asyik menyanyikan lagu Ada Apa Denganmu. Selepas tamat persembahan, Ariel bertanya kepada penonton siapa yang mendapat bunga mawar putih dan meminta individu tersebut naik ke atas pentas. Ariel turut memberikan pelukan kepada peminatnya itu. "Siapa yang menerima bunga ros putih? Saya perlukan inspirasi untuk menyanyikan lagu seterusnya," katanya. Dalam pada itu, peminat bertuah berkenaan dapat duduk bersama Ariel di atas pentas sambil menghayati penyanyi asal Bandung, Indonesia itu menyampaikan lagu Ini Cinta. Sepanjang persembahan, wanita itu dilihat teruja dan tersenyum sambil memegang lirik yang diberikan kepadanya. ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia destinasi terakhir konsert Noah, ambil keputusan berehat daripada bidang muzik ARTIKEL BERKAITAN: Konsert 'sold out', penganjur sudah rancang konsert Noah dalam skala besar tahun depan Penyanyi berkenaan turut memberikan dia beberapa kuntum bunga ros dan di akhir persembahan penonton bersorak meriah apabila melihat gadis itu menerima pelukan daripada Ariel. Sementara itu, Noah turut mengejutkan peminat apabila buat pertama kali menyampaikan lagu baharu mereka berjudul Suara Dalam Kegelapan dengan kemunculan istimewa penyanyi rap Joe Flizzow. Peminat bersorak teruja apabila melihat kemunculan Joe atau Johan Ishak, 44, itu di atas pentas dengan menyampaikan susunan lirik rap dalam lagu tersebut. “Lagu ini belum lagi dilancarkan di Spotify atau mana-mana platform digital muzik tetapi sudah dipersembahkan dalam versi (rap),” ujar Ariel. Persembahan di Kuala Lumpur bakal menjadi yang terakhir sebelum Noah berehat daripada dunia muzik. Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur merupakan konsert terakhir kumpulan itu di Malaysia sebelum mengambil keputusan berehat daripada bidang muzik. Menerusi persembahan lagu terakhir Mungkin Nanti, Ariel sempat memberitahu kumpulan itu bakal merindui peminat di Malaysia dan menghargai sokongan mereka selama ini. “Kami akan merindui kamu Kuala Lumpur. Peminat di Malaysia sentiasa menjadi penonton yang luar biasa. Kami sangat menghargai sokongan anda... Terima kasih,” katanya. Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur diserikan dengan 26 buah lagu termasuk Separuh Aku, Di Atas Normal, Ku Katakan Dengan Indah, Bintang Di Syurga, Cobalah Mengerti, Menghapus Jejakmu dan Mimpi Yang Sempurna. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!