PENYANYI As'ad Motawh pernah berjalan kaki sejauh enam kilometer demi menghadiri pertunjukan fesyen di Pavilion Kuala Lumpur sebelum bergelar artis. As'ad atau As'ad Ahmad Mohammad Motawh, 22, berkata, dia memilih berjalan kaki kerana hanya mempunyai wang sebanyak RM5 dan mengambil masa dua jam untuk sampai ke pusat beli-belah itu dari rumahnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur. "Sebelum bergelar penyanyi saya dijemput menghadiri ke Kuala Lumpur Fashion Week. Saya ada RM5 dalam poket dan fikir macam mana hendak ke sana sebab saya duduk dekat Desa Pandan. "Jadi saya berjalan kaki dari Desa Pandan ke Pavilion demi menghadiri pertunjukan itu. Dua jam saya berjalan kaki. As'ad berjalan kaki untuk pergi ke tempat persembahan. "Saya pakai 'comel-comel' nampak macam gaya seorang pempengaruh dan saya sampai sejam awal dekat sana," katanya. As'ad berkongsi pengalamannya itu menerusi sesi Thinker Podcast. Bercerita lanjut mengenai pengalamannya itu, As'ad memberitahu dia juga tidak mampu membeli deodorant sehingga terpaksa menggunakan sabun pencuci tangan dalam tandas awam untuk mewangikan badan. ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Huda kena kencing dengan kucing kesayangan, kongsi cerita bela Aoki sebelum dapat Keisha ARTIKEL BERKAITAN: Bersalin selang setahun punca Eka Sharif hilang, tolak publisiti murahan lonjak kembali nama "Badan saya berbau, saya pergi ke tandas dan duduk sambil keringkan peluh. Saya guna sabun tangan yang ada, saya letak dekat ketiak supaya saya tak busuk," jelasnya. Dalam pada itu, As'ad memberitahu dia juga terpaksa menipu rakan-rakan ketika mereka mengajak makan di sebuah restoran popular kerana bimbang tidak mampu membayar makanan yang dipesan. Dedahnya, dia hanya menunggu dengan sabar sehingga mereka selesai menjamu selera dan mengalas perut daripada sisa makanan yang tidak dihabiskan. As'ad juga memaklumkan dia hanya makan sisa makanan rakannya. "Mereka pesan banyak makanan dan ajak saya makan tapi saya beritahu sudah kenyang walaupun sedang lapar sebab bimbang tak mampu bayar. "Makanan yang tidak habis, saya makan sebab memang tengah lapar," kongsinya. As'ad memberitahu RM5 miliknya kemudiannya digunakan untuk membeli air kosong, sekeping roti canai selain sebagai tambang bas untuk pulang ke rumah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!