suria

[V] Ramli MS hampir tertipu, gelar Aliff Aziz penyanyi ‘leman’

Persembahan Cek Mek Molek oleh Aliff berjaya menambat hati juri.

JURI tetap All Stars Gegar Vaganza (ASGV) Datuk Ramli MS tidak menyangka Aliff Aziz mampu menyampaikan lagu Cek Mek Molek nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau dengan begitu baik.

Ramli atau Ramli Mohd Salleh, 56, berkata, vokal Aliff ketika menyampaikan lagu berkenaan kedengaran natural dan tidak dibuat-buat sehingga menyebabkan dia menduduki tangga pertama bagi minggu kelapan program realiti itu.

"Saya memang terperanjat dengan Aliff... Saya dengar nyanyian dia ketika sesi raptai, saya hampir tertipu! Saya tak sangka benda itu sebab suara yang keluar daripada mulutnya memang natural.

"Dia 'penyanyi leman' (kekampungan) sebenarnya," katanya kepada mStar.

Aliff 1

Tok Ram memuji persembahan Aliff pada minggu ini.

Ramli atau lebih mesra dengan sapaan Tok Ram mengulas perkara itu semasa sidang media selepas persembahan minggu kelapan ASGV yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Mengulas mengenai tugasan yang ditentukan sendiri olehnya, Ramli berkata, sebagai juri dia berpuas hati dengan semua persembahan peserta kerana menunjukkan usaha yang baik.

"Saya puas hati sebab semua rajin. Itu yang saya nak! Saya harap mereka ambil pengajaran dan bawa ke minggu hadapan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Syafinaz tegur baju ketat ganggu persembahan, Tok Ram puji usaha Nikki Palikat nyanyi lagu dangdut

ARTIKEL BERKAITAN: Liza Hanim, Noryn Aziz dan Nikki Palikat terselamat, ASGV minggu ke-8 tiada penyingkiran

Dalam masa sama kata Tok Ram, kesemua peserta lelaki menduduki tangga empat teratas disebabkan mereka menunjukkan kelainan dan kepelbagaiaan dalam nyanyian.

"Kesemua peserta lelaki menunjukkan kepelbagaian dalam persembahan mereka, mampu membawakan lagu lain.

"Untuk Aliff, saya memang sudah dapat agak yang dia tidak akan gagal sebab dia ada jiwa 'Leman' itu.

"Naqiu pun berusaha sangat keras untuk memberikan persembahan terbaik minggu ini. Ini sepatutnya yang menjadi penanda aras buat semua peserta," jelasnya.

Saya dengar nyanyian dia ketika sesi raptai, saya hampir tertipu!

RAMLI MS

JURI TETAP ALL STARS GEGAR VAGANZA

Sementara itu, Aliff atau Muhammad Aliff Aziz, 32, tidak terfikir bakal mendapat tempat pertama namun bersyukur kerja kerasnya berjaya menambat hati juri profesional.

Mengulas mengenai gelaran penyanyi 'leman' yang diberikan Ramli kepadanya, Aliff menganggap ia sebagai satu pujian daripada pengarah muzik terkenal itu.

"Ini merupakan persembahan pertama yang saya rasa seronok di atas pentas, lagi-lagi berkongsi pentas bersama anak saya, Ayden.

"Saya tak terfikir dapat nombor satu sebab masa dapat lagu itu saya macam ragu tetapi dengan usaha dan belajar, akhirnya saya boleh buat dengan baik.

Aliff 2

Aliff menduduki tangga pertama pada minggu kelapan ASGV.

"Mungkin maksud Tok Ram itu, orang ingat saya hanya mampu menyanyikan lagu-lagu urban dan dia merasakan saya juga boleh menyampaikan lagu 'leman' kekampungan," katanya.

Untuk rekod, Aliff Aziz mendahului kesemua peserta pada minggu kelapan dengan markah sebanyak 78 peratus diikuti Naqiu (77.75 peratus) dan Tomok (74.75 peratus).

Sementara, tiga peserta dengan kedudukan terendah adalah Liza Hanim dengan markah 62.5 peratus, Noryn Aziz (57 peratus) dan Nikki Palikat (56.50 peratus).

Minggu kesembilan ASGV bakal menyaksikan tema Duet 2.0.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain