PENYANYI Noraniza Idris berdepan dengan masalah kemurungan teruk susulan menjadi mangsa penipuan penganjuran Konsert Malai solo yang sepatutnya berlangsung pada Oktober tahun lalu. Noraniza, 54, berkata, kejadian itu menyebabkan dia tidak mahu berdepan dengan orang ramai termasuk enggan lagi bergiat aktif dalam dunia nyanyian. "Sejak insiden yang berlaku itu saya sudah serik! Saya mengalami trauma, kemurungan yang teruk selama tujuh bulan sebelum berani tampil depan umum. "Pengarah muzik konsert tiba-tiba hilang, jadi saya terpaksa hadap semua masalah ini seorang diri. Lama saya ambil masa untuk pulih," katanya kepada mStar. Konsert Malai Solo terpaksa dibatalkan di saat akhir. Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media ASGV minggu ke-9 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad. Dalam pada itu, penyanyi lagu Dikir Puteri ini juga memberitahu kejadian itu membuatkan emosinya terganggu sehingga boleh menyebabkan dia mengalami histeria setiap kali ada orang membangkitkan tentang konsert itu. Menyedari apa dialami bukan perkara normal, Noraniza turut mendapatkan nasihat di hospital bagi memulihkan kemurungan dialami. ARTIKEL BERKAITAN: Noraniza Idris tangguh Konsert Malai Solo, risau PRU15 makin dekat ARTIKEL BERKAITAN: Isu jual rumah artis RM10 calar imej Noraniza Idris, jejas jualan tiket Konsert Malai Solo "Saya ada berjumpa dengan pakar untuk meminta nasihat tetapi selepas diberi surat rujukan untuk pemeriksaan lanjut saya tidak ke hospital. "Pada ketika itu saya tak boleh langsung bercakap tentang perkara ini kerana kalau bercakap saya akan jadi histeria. "Bila suami saya beri nasihat untuk lebih tenang, saya boleh terus menjerit seperti orang hilang punca," ujarnya. Saya mengalami trauma, kemurungan yang teruk selama tujuh bulan sebelum berani untuk tampil secara umum. NORANIZA IDRIS PENYANYI Pun begitu, Noraniza meluahkan rasa syukur dan memaklumkan keadaan dirinya kini sudah stabil dan tidak lagi mempunyai masalah untuk berdepan dengan orang ramai. Ditanya sama ada selepas ini dirinya terbuka untuk menganjurkan semula konsert, Noraniza memberitahu selepas apa yang berlaku banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati. "Alhamdulillah sekarang saya sudah boleh berdepan dengan orang. Noraniza terpaksa berehat sebentar daripada menyanyi. "Sekiranya selepas ini saya ditawarkan untuk menganjurkan konsert lagi, sudah tentu saya ambil pengajaran untuk siasat latar belakang pihak penganjur terlebih dahulu," katanya. Pada September tahun lalu, Noraniza mengambil keputusan menunda penganjuran persembahan terakhirnya sebelum bersara iaitu Konsert Malai Solo yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur. Kata Noraniza, dia tidak menolak penangguhan konsert tersebut ada kaitan dengan isu penglibatannya bersama Skim Rumahku Syurgaku (RKSK) yang didakwa mempunyai unsur penipuan. Disebabkan isu tersebut semua perancangan konsert terganggu termasuklah menjejaskan penjualan tiket selain imej dan kredibilitinya tercalar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!