suria

Busana ‘Queen of Gold‘ berharga RM120,000, Ezuwan Ismail beli fabrik emas di luar negara khas buat Aina Abdul

Busana emas yang dihasilkan Ezuwan mencecah RM120,000.

LIMA busana yang digayakan Aina Abdul menerusi konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu lalu menjadi tumpuan ramai apabila penyanyi itu mendedahkan kesemuanya berjumlah RM400,000.

Selain gaun berwarna biru yang mengeluarkan asap, busana keempat rekaan Ezuwan Ismail berkonsepkan ‘Queen of Gold‘ turut menjadi perhatian yang berharga RM120,000.

Ezuwan berkata, gaun seberat 40 kilogram itu memakan masa selama dua minggu untuk disiapkan dan diperbuat daripada fabrik emas yang hanya boleh dibeli di luar negara.

Ezuwan 1

Busana emas ini juga mencecah sehingga 40 KG.

“Fabrik emas ni memang tak dijual di sini (Malaysia). Nak tak nak, kena beli dekat luar negara termasuklah batu-batu yang memenuhi busana tersebut.

“Antara batu perhiasan yang digunakan ialah mutiara, berlian serta dihiasi manik dan labuci. Selepas ia siap, berat keseluruhan kostum tersebut dianggarkan mencecah sehingga 40 kilogram termasuk cape,” katanya.

Menurut Ezuwan lagi, pakaian itu dijahit sendiri menggunakan tangan dan seluruh permukaan fabrik dipenuhi batu-batu hiasan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Konsert 3 jam Aina Abdul buat 10,000 penonton puas, sebahagian jualan tiket disumbangkan untuk Palestin

ARTIKEL BERKAITAN: Semangat ikut tema, peminat melaram habis di Konsert Aina Abdul 3.0... Siap tempah baju tiru fesyen idola

“Baju ini adalah jahitan tangan sepenuhnya seperti mana diminta oleh Aina sendiri. Ini bagi memastikan kualiti jahitan terjamin,” tambahnya.

Ezuwan yang turut menyaksikan persembahan Aina semasa konsert menzahirkan kepuasannya saat melihat penyanyi popular itu muncul di pentas bersama busana rekaannya.

Ezuwan 2

Antara busana yang mendapat perhatian ramai.

“Satu kepuasan apabila pakaian yang dihasilkan selama dua minggu ini dilihat gah dipakai oleh Aina. Saya anggap ini satu penghormatan dapat bekerjasama dengan Aina dalam konsert meganya,” ujar Ezuwan.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, sebelum ini mendedahkan selain busana, dia turut menggunakan tiga mikrofon sendiri yang berharga RM120,000.

Untuk rekod, Aina ketika A Night With Aina Abdul 3.0 pada Sabtu lalu berlangsung selama tiga jam dengan menyampaikan sebanyak 34 buah lagu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain