PESERTA All Stars Gegar Vaganza (ASGV) Jaclyn Victor tidak berasa tergugat dengan penampilan rakan duet iaitu penyanyi Nadeera Zaini pada konsert minggu kesembilan yang berlangsung pada malam Ahad. Jaclyn atau Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, berkata, tidak adil untuk bandingkan dia yang sudah menginjak usia 45 tahun dengan penyanyi lebih muda. Biarpun Jaclyn mengakui berasa sedikit tertekan untuk berduet dengan penyanyi bersuara lantang, namun dia sedar terdapat beberapa faktor yang memberi batasan terhadap kekuatan vokal masing-masing. "Kenapa perlu rasa begitu? Mungkin ada yang berpendapat kalau berduet mesti salah seorang penyanyi perlu lebih menyerlah. Jac mengagumi bakat yang ada pada Nadeera. "Saya biasanya tertekan apabila menyanyi dengan penyanyi-penyanyi yang bersuara lantang. Kalau nak bandingkan usia saya yang menginjak 45 tahun dan Nadeera pula baru 29 tahun, sudah tentu tenaga dia lain. "Saya bukan robot. Saya bagi contoh atlet sukan bersara pada usia 30 tahun tetapi kalau penyanyi laju saja netizen nak kutuk tak boleh menyanyi kerana sudah tua... Tidak adil untuk buat perbandingan seperti itu," katanya kepada mStar. Jaclyn berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media ASGV minggu ke-9 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Tarik diri ASGV bukan pilihan! Jaclyn Victor 2 hari tak bercakap, masalah laryngitis semakin pulih ARTIKEL BERKAITAN: Noryn Aziz gagal ke suku akhir All Stars Gegar Vaganza, masalah suara tak halang Jaclyn Victor dapat tempat pertama Dalam pada itu, Jaclyn turut mengagumi bakat yang ada pada juara Big Stage musim kelima itu dan mengimbau saat pertama kali dia melihat Nadeera beraksi di pentas program All Together Now Malaysia (ANTM). "Pertama kali saya melihat dia menyanyi ketika program ATNM. Dia bawa lagu Marsha iaitu Cinta. Susah tau... Saya pun belum pernah menyanyi lagu itu dan tiba-tiba Nadeera menyanyi lagu itu dengan nada lebih tinggi. "Saya tertanya-tanya siapa dia ni. Itulah reaksi pertama kali saya melihat bakatnya dan saya menghormati serta kagum dengan dia,” ujarnya. Kalau nak bandingkan usia saya yang menginjak 45 tahun dan Nadeera pula baru 29 tahun, sudah tentu tenaga dia lain. JACLYN VICTOR PENYANYI Pada minggu kesembilan ASGV, Jaclyn berjaya meraih kedudukan pertama dengan persembahan lagu All I Ask nyanyian Adele bersama penyanyi jemputan iaitu Nadeera. Menurut juri tetap Datuk Ramli MS, dia memahami masalah suara yang dialami penyanyi itu dan menyifatkan Nadeera banyak membantu dalam persembahan tersebut. Tambah Jaclyn, dia tidak menafikan setiap kali bertanding sudah tentu dirinya berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran untuk mengekalkan konsistensi persembahan. Selepas dia diuji dengan masalah kehilangan suara, penyanyi itu hanya mahu memberikan fokus kepada nyanyiannya tanpa perlu memikirkan perkara lain. Jaclyn masih mampu menyanyi dengan baik biarpun mengalami masalah suara. "Bila kita bertanding dalam sesuatu program sudah tentu banyak dugaan yang datang. Ada banyak perkara yang saya fikirkan sehingga menganggu konsentrasi. "Jadi saya hanya beri fokus pada nyanyian. Saya tidak mahu kejar nombor satu, dua atau tiga (kedudukan). Saya rasa lebih baik menyanyi ikut kemampuan sendiri. "Sumpah saya cakap persembahan minggu ini saya memang berserah kepada Tuhan. Saya hanya menyanyi dan tidak fikirkan tentang perkara lain," ujarnya. Pada Selasa lalu, Jaclyn mendedahkan dia mengalami masalah Laryngitis sehingga menyebabkan dirinya kehilangan suara dan sukar untuk bercakap. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!