suria

Dituduh suka pinjam duit, ini penjelasan anak Jins Shamsuddin... Tengah sibuk buat olahan skrip ‘Pasir Salak’

Hang Jebat tidak mengetahui berkenaan dakwaan yang mengatakan dia suka meminjam duit.

ANAK seniman legenda Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menyifatkan gambaran mengaitkan dia sebagai individu yang sering meminjam wang dan liat membayar hutang sebagai tidak jelas.

Jebat atau Putera Hang Jebat, 36, berkata, dia sendiri tidak pasti dengan tuduhan tersebut yang dilihat boleh menjadi fitnah sekiranya ia tidak benar.

Enggan cepat melatah dengan isu berkenaan, Jebat memilih berpegang kepada pesanan bapanya agar tidak menghiraukan segala tohmahan dilemparkan kepada dia dan keluarga.

Jebat 1

Hang Jebat bersama Jins Shamsuddin.

"Saya pun tidak pasti kenapa dakwaan seperti itu keluar. Kalau benda itu tidak betul, ia telah jadi fitnah dan kalau ia betul, ia adalah aib seseorang.

“Saya berpegang kepada pesanan arwah ayah agar tidak mendedahkan apa-apa di media sosial atau mana-mana platform," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Sementara itu, Jebat juga enggan mengulas dakwaan dia menjual harta milik Jins dan akan membuat penjelasan mengenainya selepas keputusan mahkamah diketahui kelak.

Ini kerana kata Jebat, ketika ini dua perbicaraan di mahkamah sivil dan mahkamah syariah sedang berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Hang Tuah fail rayuan keputusan surat wakil kuasa Jins Shamsuddin, muat naik video penjelasan di YouTube

ARTIKEL BERKAITAN: Hang Tuah sangkal dakwaan Hang Jebat fail saman sebab dendam, mahu harta Jins Shamsuddin dibahagi secara faraid

"Kes di mahkamah sivil adalah berkenaan isu jual tanah berharga RM2.75 juta. Saya telah menang kes tersebut, cuma sekarang ini pihak di sana membuat rayuan.

"Manakala di mahkamah syariah pula, saya tidak mahu mendedahkan ia berkenaan apa," ujarnya.

Sementara itu, Jebat memberitahu dia kini sedang sibuk mengurus menyiapkan filem terakhir bapanya iaitu Pasir Salak yang tidak sempat disiapkan.

Jebat 2

Hasil perkahwinan, Jins dan Puan Sri Halijah Abdullah dikurniakan dua anak iaitu Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Jebat berkata, ketika ini dia sedang mengolah skrip filem tersebut agar ia lebih sesuai dengan zaman sekarang.

"Berkemungkinan satu atau dua tahun lagi akan mulakan penggambaran. Ketika ini kita sedang kemas kini skrip untuk pastikan ia sesuai dengan zaman sekarang," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan anak seorang seniman tersohor giat mencari mangsa dari golongan rakan dan juga penggiat seni untuk meminjam duit.

Lebih teruk lagi apabila anak seniman itu enggan membayar semula hutang yang telah dipinjamnya sebelum ini selain dia didakwa pernah menjual harta peninggalan bapanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain