suria

Bapa tutup bisnes ikan teman ulang-alik dari Sabah ke KL, simpanan licin demi karier seni... Wafiy mahu balas pengorbanan keluarga

Wafiy Aan kini bekerja untuk menyara keluarga.

PELAKON Wafiy Aan tidak akan melupakan pengorbanan dilakukan oleh bapanya iaitu Johan Awang Baba yang sanggup menutup perniagaan diusahakan demi menyokong karier seninya.

Wafiy atau Mohd Wafiy Ilhan, 21, memberitahu bapanya juga sanggup mengeluarkan semua simpanan termasuk menjual kenderaannya untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Dedah Wafiy, ketika itu dia sekeluarga menetap di Beaufort, Sabah dan memerlukan perbelanjaan besar untuk menghadiri penggambaran di Kuala Lumpur termasuk membeli tiket penerbangan.

Wafiy 2

Wafiy ketika menjadi tetamu dalam sesi podcast tersebut.

"Saya berasal dari Sabah dan sebelum ini ayah ada perniagaan menjual ikan. Alhamdulillah bisnes diusahakan bagus malah kami sekeluarga hidup selesa.

"Tapi disebabkan minat saya dalam bidang seni, ayah sanggup menutup perniagaan dan menemani saya ulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur.

"Duit, simpanan semua habis sebab beli tiket penerbangan sampai dia jual kereta dan motosikal yang ada," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman membesar di set penggambaran buat Wafiy Ilhan minat jadi pengarah, mahu ikut jejak langkah Syamsul Yusof

ARTIKEL BERKAITAN: Wafiy mahu buktikan sudah dewasa, bukan lagi pelakon kanak-kanak... “Mungkin mereka banyak tonton saya daripada kecil”

Wafiy berkongsi pengorbanan bapanya itu menerusi sesi podcast Sembang Atas Dulang bersama Ceddy di YouTube.

Sedar tidak dapat membalas semua jasa bapanya, Wafiy berjanji akan berusaha dan bekerja keras bagi membahagiakan kedua ibu bapanya selepas ini.

Malah sejak semua ahli keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur, dia tidak membenarkan ibu bapanya bekerja dan hanya berehat di rumah.

"Ayah dan mak sudah banyak berkorban. Jadi biar Wafiy yang bekerja dan mereka boleh berehat di rumah," katanya.

Wafiy 1

Wafiy merupakan anak sulung kepada lima beradik.

Berkat doa ibu bapanya, Wafiy memberitahu secara berperingkat dia berjaya membeli semula kenderaan buat kegunaan keluarga.

"Alhamdulillah saya perlahan-lahan beli bali motosikal dan kereta buat keluarga," ujarnya.

Untuk rekod, bakat Wafiy mula dicungkil menerusi program terbitan Astro iaitu Ceria PopStar musim pertama pada 2013.

Wafiy yang ketika itu berusia 11 tahun kini semakin dikenali sebagai pelakon malah pernah membintangi filem La Luna dan drama Stella On Stage.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain