SIBUK dengan jadual penggambaran sejak awal tahun 2023, pelakon Meerqeen memberitahu dia belum berkesempatan mengambil cuti panjang untuk merehatkan diri. Kata Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqen Shaiful Izam, 22, dia sanggup ketepikan waktu untuk diri sendiri kerana mahu perjalanan seninya tahun hadapan lebih teratur dan tersusun. Dalam masa sama, pelakon ini juga sudah menyusun baik setiap tawaran yang diterima untuk tahun 2024 supaya peminat dapat melihat kepelbagaian dalam kerjaya seninya. Meerqeen sudah mengatur baik perjalanan seni untuk tahun 2024. "Tahun ini memang saya tiada masa untuk rehat. Perancangan nak bercuti pada Disember pun saya batalkan sebab terlibat dengan penggambaran. "Bagi saya biar penat tahun ini supaya tahun hadapan boleh bertenang. Sebab semua filem dan drama yang saya terlibat akan ditayangkan tahun hadapan. "Bagaimanapun saya akan terus berlakon. Bukan bermakna nak rehat panjang untuk 2024. Cuma saya tidak mahu lakukan perkara sama dalam lakonan," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Meerqeen anggap Mimi Lana sahabat, tak tergamak buat perbuatan terkutuk... jawab tuduhan cium dalam kelab malam ARTIKEL BERKAITAN: Langkah senyap membuahkan hasil, Meerqeen beli kereta idaman G-Wagon RM1.5 juta Meerqeen ditemui ketika majlis pra pelancaran filem terbaharu lakonannya berjudul Klepet yang turut membariskan pelakon Aedy Ashraf dan Nadhir Nassar sebagai watak utama. Semakin rancak mencipta nama sebagai salah seorang pelakon muda pilihan ramai masa kini, Meerqeen juga tidak terlepas daripada cabaran dunia seni apabila ada pihak yang cuba bercakap buruk tentang dirinya. Tidak pernah ambil pusing akan pandangan sesetengah pihak, baginya setiap kecaman atau cerita buruk tentang dirinya bukanlah satu penghalang untuk dia terus membina kerjaya. Saya bekerja untuk diri sendiri. Kalau buat perkara baik sekalipun akan ada yang bercakap tentang keburukan kita MEERQEEN PELAKON "Setiap manusia akan berdepan dengan situasi di mana ada orang yang tidak melihat kita berjaya. Apa yang saya lakukan selama ini bukan untuk puaskan hati semua orang. "Saya bekerja untuk diri sendiri. Kalau buat perkara baik sekalipun akan ada yang bercakap tentang keburukan kita. Jadi saya tidak pernah patah semangat dengan kata-kata negatif," ujarnya. Bercakap tentang filem Klepet yang baru sahaja memulakan penggambaran di Melaka, kata Meerqen dia menerima tawaran naskah tersebut kerana diberi peluang bekerja dengan rakan-rakan yang sudah dikenali. Meerqeen seronok dapat berlakon bersama dua sahabatnya iaitu Aedy (kiri) dan Nadhir. Filem ini juga merupakan satu cabaran buat Meerqeen menonjolkan kelainan dalam genre komedi menerusi watak Wadi. "Ini pertama kali saya bawa watak komedi. Ada juga rasa gementar sebab bimbang untuk buat orang ketawa. Tapi saya rasa boleh melakukannya. "Saya terima tawaran ini sebab barisan pelakon adalah rakan-rakan baik. Jadi tiada masalah untuk wujudkan keserasian antara kami ketika di set penggambaran," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!