suria

Ernie Zakri peminat sejak awal kemunculan, gelar Aina Abdul penyanyi hebat

Ernie tidak sabar untuk berduet bersama Aina.

TIADA sengketa di antara mereka, penyanyi Ernie Zakri sebaliknya mendedahkan dia antara peminat terawal Aina Abdul sejak kemunculannya dalam industri muzik.

Mengagumi kehebatan vokal Aina, Ernie turut menyifatkan rakan baiknya itu antara salah seorang penyanyi hebat di negara ini.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, berkata, dia juga bangga apabila diundang sebagai penyanyi jemputan konsert Aina di Singapura pada 6 Januari depan.

"Saya setuju sebab dia Aina Abdul... Siapa yang tak mahu menyanyi dekat konsert dia?

Aina Ernie 1

Ernie teruja bakal bergandingan dengan Aina di Singapura bulan depan.

"Sebab dia adalah seorang penyanyi yang bagus, saya patut berasa bangga menjadi sebahagian dalam persembahan itu nanti.

"Saya peminat terawal Aina, jadi bila dapat jemputan, saya terus memberi persetujuan," katanya kepada mStar.

Ernie berkongsi perkara itu ketika ditemui media selepas selesai mengadakan persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) hari kedua pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah cukup lagakan Ernie dan Aina, konsert di Singapura tutup dakwaan wujud sengketa

ARTIKEL BERKAITAN: Ernie Zakri terima lamaran Aina Abdul beraksi atas satu pentas konsert... “Menangis yang cuba lagakan mereka”

Penyanyi itu berkata, dia juga bersetuju bagi merialisasikan impian peminat yang ingin melihat mereka di atas pentas sama.

"Saya tak sabar sebab ramai dekat luar sana menantikan gandingan kami malah peminat selalu minta kami mengadakan persembahan bersama-sama.

"Kami buat ini untuk peminat. Saya dan Aina ada niat yang sama," ujarnya.

Aina adalah penyanyi yang bagus, saya harus rasa bangga sebab menjadi sebahagian dalam konsertnya.

ERNIE ZAKRI

PENYANYI

Penyanyi lagu Astana itu juga tidak menolak gabungan mereka bagi menutup mulut dan dakwaan mengatakan mereka bermusuh.

Tegas Ernie, hubungan dia dan Aina tidak pernah berdepan sebarang masalah malah mereka berkawan seperti biasa.

"Kami tiada sebab nak bergaduh. Saya dan Aina adalah penyanyi yang berbeza. Kalau kita gaduh, sampai bila pun tak habis.

Aina Ernie 2

Ernie dan Aina tidak mempunyai sebarang sengketa.

"Saya nak semua faham, kita tiada apa-apa masalah sejak awal. Kita baik seperti biasa. Kami jumpa dekat pusat kecergasan dan makan sama-sama," jelasnya.

Sebelum ini, Aina menjelaskan dia memilih sahabatnya iaitu Ernie kerana mahu menamatkan dakwaan kononnya mereka pernah berseteru sebelum ini.

Kata Aina, dia juga mahu menyerap unsur positif dalam industri hiburan selain membuktikan penyanyi wanita mampu beraksi di atas pentas sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain