suria

Penantian 20 tahun Naqiu beraksi di Anugerah Juara Lagu berakhir, janji akan buat Faizal Tahir bangga

Naqiu menggantikan Faizal Tahir bagi lagu Santai.

DUA puluh tahun menanti, impian penyanyi Naqiu menempatkan diri ke Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) tahun depan akhirnya terlaksana.

Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najid, 37, berkata, meskipun Santai nyanyian asal Faizal Tahir namun dia tetap berasa bangga akan pencapaian dapat beraksi di pentas berprestij itu nanti.

Malah, Naqiu juga menyifatkan ia adalah satu kejayaan besar dalam kariernya sebagai penyanyi apabila dapat menggantikan Faizal Tahir.

Naqiu 2

Naqiu sudah lama mengidamkan pentas Juara Lagu.

"Saya kejar AJL ini sudah 20 tahun lebih. Hari ini jadi kenyataan. Jadi, untuk AJL38 ini, saya mahu buat persembahan terbaik.

"Penggembaraan untuk masuk AJL sangat panjang dan berliku.... Akhirnya jadi kenyataan dengan menggantikan seorang idola saya. Ini pencapaian besar dalam karier saya.

"Saya nak buat persembahan terbaik dan paling bagus. Saya nak abang Faizal fikir yang dia tidak salah pilih," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Santai nyanyian Naqiu Lagu Terbaik SFMM38 hari ketiga, antara 12 karya mara ke Anugerah Juara Lagu 38

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Takkan tak tahu hukumnya haram?” - Aksi mesra pegang tangan Misha Omar kena kecam, Naqiu tampil mohon maaf

Naqiu memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas hari ketiga Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung di Glenmarie Shah Alam pada petang Ahad.

Dalam masa sama, Naqiu juga menyatakan kesediaannya untuk menerima kecaman dan perbandingan di antara persembahannya dan penyanyi asal lagu tersebut.

Naqiu berkata, dia melakukan persembahan dengan sehabis baik bagi memastikan peminat dan Faizal berasa puas dan seronok.

Saya kejar AJL ini sudah 20 tahun lebih. Hari ini jadi kenyataan.

NAQIU

PENYANYI

"Saya rasa, kalau bawa lagu apa-apa pun, mesti orang akan banding-bandingkan. Saya terbuka kalau orang kata saya tidak bagus macam penyanyi asal.

"Penyanyi asal adalah sentiasa yang terbaik untuk lagu mereka," ujarnya.

Selain berjaya melayakkan diri ke AJL38, lagu Santai yang dinyanyikan Naqiu juga merupakan Lagu Terbaik dan Pilihan Alha Alfa untuk hari ketiga SFMM38.

Naqiu 1

Lagu Santai merupakan lagu terbaik dan pilihan Alha Alfa untuk hari ketiga SFMM38.

Antara lagu lain yang berjaya ke AJL38 juga adalah Jangan Mati Rasa Itu nyanyian Aina Abdul, Sutera (Aisha Retno), Inilah Jalannya (Kugiran Masdo), Astana (Ernie Zakri) dan Darah (Marsha Milan).

Turut mara ialah Kalam (Shiha), Hasrat (Amir Jahari), Kucuma (Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah), Bintang (Heal Husaini), Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali).

Kesemua lagu yang mara ke AJL38 diadili juri profesional diketuai Datuk Mokhzani Ismail, LY, Datuk Wah Iris, Cat Farish, Helen Yap dan Azmeer.

AJL38 bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mac tahun depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain