suria

Terngiang-ngiang lagu nyanyian arwah, isteri Ibnor Riza reda walau ‘sakit’ terima takdir suami sudah tiada

Lagu-lagu arwah Ibnor menjadi kenangan buat isteri.

PEMERGIAN suami tercinta Allahyarham Ibnor Riza terlalu pahit untuk ditelan namun isteri kedua iaitu Sarimah Sulaiman terpaksa menerima takdir itu dengan hati terbuka.

Sukar diluahkan dengan kata-kata, Sarimah atau lebih dikenali sebagai Seri, 51, sebak tatkala mengenang kembali momen indah bersama suami sepanjang 14 tahun perkahwinan mereka.

Sehari selepas pemergian suami tercinta, Seri berkata dia teringat saat susah senang bersama, malah lagu-lagu dendangan Allahyarham juga terngiang-ngiang di telinga.

ibnor riza 2

Ibnor menghembuskan nafas terakhir pada Ahad.

"Saya bersama arwah setiap hari, daripada dia sihat sehingga jatuh sakit dan tidak sedarkan diri. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya apabila kehilangan seorang suami.

"Kami sama-sama bertemu dalam bidang seni. Kehidupan kami juga banyak melibatkan dunia seni. Saya asyik terdengar lagu-lagu arwah di telinga, namun dia sudah tiada.

"Sebagai umat Islam, kita kena reda menerima ketentuan ini. Allah lebih sayangkan dia. Walau pahit, saya kena kuat untuk teruskan hidup," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua minggu tak sedarkan diri, Ibnor Riza meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Ibnor Riza selamat jalani pembedahan kepala kali kedua, isteri mohon doa ada keajaiban

Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Kuala Lumpur, pada pukul 3.30 petang Ahad.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

"Syukur urusan terakhir arwah berjalan lancar. Saya hanya melihat pengkebumian menerusi video kerana tidak elok untuk kaum wanita ke tanah perkuburan.

Allah lebih sayangkan dia. Walau pahit, saya kena kuat untuk teruskan hidup

SARIMAH SULAIMAN

ISTERI IBNOR RIZA

"Dia mahu disemadikan di kampungnya sendiri berdekatan dengan kubur arwah ibu dan bapanya di sini (Negeri Sembilan)," ujarnya.

Ibnor sebelum itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dua kali menjalani pembedahan bagi membuang air di bahagia kepada susulan sel kanser limfoma yang mula merebak ke otak.

Untuk rekod, Ibnor dan Seri mendirikan rumah tangga pada 2009 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki yang kini berusia 13 tahun.

ibnor riza 3

Ibnor menderita sakit kanser limfoma sejak awal tahun 2023.

Seri juga merupakan seorang penyanyi dan peserta program Kilauan Emas musim ketiga pada tahun 2013.

Ibnor juga memiliki seorang cahaya mata perempuan bersama isteri pertamanya, Norhayati Md Nor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain