PERSONALITI media sosial Siti Jamumall berdepan detik cemas apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Setia Alam, Selangor pada malam Ahad. Menurut abangnya iaitu Nizam atau Mohd Khairul Nizam Wahiddin, 34, kemalangan itu dipercayai berpunca kegagalan sistem brek pada kenderaan berkenaan. Kata Nizam, Siti yang menunggang sendirian meminjam motosikal daripada pembantu peribadinya (PA) disebabkan kereta miliknya ditenggelami air banjir baru-baru ini. Siti kini dirawat di hospital swasta di Shah Alam, Selangor. "Kemalangan berlaku pada Ahad lalu sekitar pukul 8 malam. Ketika itu dia menunggang motosikal milik PA dia dan motosikal itu rupanya mempunyai masalah brek. "Kemudian dia berlanggar dengan pembahagi jalan dan tercampak ke jalan raya. Dia berguling dan motosikal itu menghempap dirinya," katanya ketika dihubungi mStar. Cerita Nizam lagi, adiknya itu terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. ARTIKEL BERKAITAN: "Ini bukan konten tapi benar" - Siti Jamumall dedah sudah cerai, netizen dakwa gimik nak jual produk ARTIKEL BERKAITAN: Bagi nafkah anak RM50 mana cukup? Siti Jamumall dah tak tahan terpaksa bawa kes ke mahkamah Lebih mencemaskan apabila pada awalnya ada ambulans milik hospital swasta enggan membawa mangsa ke hospital selepas melihat keadaannya agak teruk. "Mula-mula ambulan daripada hospital swasta sampai tetapi mereka tidak berani bawa Siti kerana tahap keadaannya ketika itu dilihat agak teruk. "Selepas itu ambulan daripada Hospital Shah Alam sampai dan terus membawa Siti ke hospital, sampai di sana lebih kurang dua jam juga kami tunggu untuk dapatkan rawatan. Dia (Siti) berguling dan motosikal itu menghempap dirinya. MOHD KHAIRUL NIZAM WAHIDDIN ABANG SITI JAMUMALL "Sehinggalah kami telefon hospital swasta yang lain dan Alhamdulillah mereka dapat memindahkan Siti ke hospital berkenaan," ujarnya. Berkongsi perkembangan terkini, Nizam meluahkan rasa syukur apabila melihat keadaan Siti yang semakin baik. Kata Nizam, kemalangan itu menyebabkan jari Siti patah dan mengalami luka-luka dibahagian badan yang lain. "Selepas kemalangan tersebut, jari Siti patah dan dia mengalami luka-luka dibahagian kaki, belakang badan dan paling teruk di bahagian muka. Mujur dia pakai topi keledar, kalau tidak mungkin lebih teruk. "Sepatutnya doktor mahu memasukkan dawai untuk merawat jarinya yang patah itu tetapi buat masa ini prosedur itu belum boleh dilakukan dan jari Siti hanya disimen. Keadaan Siti kini bertambah baik. "Alhamdulillah masuk hari ketiga ini keadaan Siti kini lebih baik. Dia sudah boleh duduk, kalau tidak sebelum ini dia langsung tidak boleh duduk," katanya. Pada Isnin, Siti atau Siti Suriani Wahiddin, 33, berkongsi sebuah hantaran di Facebook miliknya memaklumkan dia mengalami kemalangan jalan raya. Menerusi perkongsian itu, Siti turut memuat naik foto dirinya yang terlantar di katil hospital dengan beberapa luka di bahagian wajah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!