ISTERI kepada Hamdan Senario memaklumkan pelawak itu kini ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu akibat jangkitan kuman dalam darah. Malini ketika dihubungi mStar memberitahu Hamdan atau Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54, mengalami cirit-birit sejak malam Sabtu namun menganggap ia mungkin disebabkan oleh keracunan makanan. Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih teruk membuatkan Malini memujuk suaminya itu untuk menerima rawatan di hospital. Hamdan berada dalam keadaan sihat ketika ditemui mStar pada malam Sabtu. "Puncanya dari malam tadi suami saya mengalami cirit-birit. Kami ingatkan dia hanya terkena keracunan makanan. "Sampailah pukul 10 pagi tadi, kami pujuk dia untuk dibawa ke hospital dan periksa tekanan darah semuanya okay. "Disebabkan menanti rawatan seterusnya, kami terpaksa tunggu selama empat jam dan membuatkan suami saya menjadi semakin lemah," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Suami kritikal terpaksa ditidurkan, Amyza Aznan buat keputusan sukar demi selamatkan nyawa ARTIKEL BERKAITAN: Isma Aliff semakin pulih selepas ditidurkan, dalam sakit tetap fikir ibu di rumah Dalam pada itu, Malini berkata selepas melakukan pemeriksaan doktor mengambil keputusan menidurkan Hamdan bagi mengurangkan sebarang komplikasi yang bakal dihadapi. "Kemudian doktor memberikan oksigen kepada suami saya dan tiba-tiba doktor kata dia terpaksa ditidurkan disebabkan ada kuman dalam darah. "Bila ada kuman dalam darah, tekanan darah pun jadi menurun dan jantung pun jadi lemah. Jadi suami saya terpaksa ditidurkan kerana kalau dibiarkan mungkin dia akan pengsan," ujarnya. Puncanya dari malam tadi suami saya mengalami cirit-birit. Kami ingatkan dia hanya terkena keracunan makanan. MALINI ISTERI HAMDAN Sementara itu, Malini memberitahu suaminya tidak mengalami sebarang penyakit namun hanya disyaki mempunyai masalah buah pinggang. Malini turut memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan buat suaminya itu. "Apa yang saya boleh katakan, suami saya tidak mempunyai sebarang penyakit dan dia hanya disyaki mempunyai masalah buah pinggang. "Saya mohon doakan untuk kesembuhan dia ya," katanya. Hamdan bersama ahli kumpulan Senario. Untuk info, kumpulan Senario bakal mengadakan showcase Senariounion di Hotel Sentral Johor Baharu pada malam Ahad. Wartawan mStar sempat merakamkan aksi Hamdan bersama anggota kumpulan Senario termasuk Wahid, Azlee, Saiful Apek dan Yassin sewaktu makan malam. Keadaan Hamdan pada ketika itu dilihat masih sihat dan sempat beramah mesra bersama peminat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!