TABUNG Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM40,585.34. Ia bagi membantu wartawan hiburan iaitu Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London pada Khamis lalu. Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata sumbangan tersebut akan disalurkan kepada akaun suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli yang ketika ini berada di London. "Kami sangat bersyukur, hanya dalam masa 48 jam selepas dilancarkan, tabung Bantulah Fiza berjaya mencapai sasaran kutipan yang diperlukan bagi kos membawa pulang jenazah ke tanah air. Suami Fiza masih menguruskan pengurusan jenazah. "Penderma adalah terdiri dalam kalangan rakan media, rakan-rakan artis dan orang ramai. Mereka ini bersama-sama memberi sumbangan sebagai tanda prihatin dan turut berdukacita atas pemergian arwah yang sebelum ini banyak memberi sumbangan kepada dunia penulisan seni dan hiburan tanah air. "Seluruh keluarga WHAM merakamkan berbanyak terima kasih di atas keprihatinan semua. Setelah sasaran mencukupi, tabung Bantulah Fiza yang dianjurkan oleh WHAM ditutup," katanya. Dalam pada itu, Khalidah berkata pihak keluarga Allahyarham masih lagi menunggu dokumen kematian daripada pihak hospital bagi proses membawa pulang jenazah ke Malaysia. Katanya, urusan membawa jenazah pulang juga berjalan dengan baik apabila mendapat kerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana. ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan hiburan kritikal di London, tak sedarkan diri sebelum pulang ke Malaysia ARTIKEL BERKAITAN: Kisah wartawan hiburan kritikal di London dapat perhatian Fahmi Fadzil, salur sumbangan segera "Suami arwah ada memaklumkan kepada saya mungkin pada Selasa atau Rabu depan, baru dokumen kematian dikeluarkan. "Memandangkan ketika ini ramai petugas sedang bercuti bagi sambutan Krismas, urusan mendapatkan dokumen kematian akan mengambil sedikit masa. "Selepas dokumen kematian diperolehi, ia akan disusuli urusan dengan pihak syarikat pengurusan jenazah di sana, diikuti urusan dengan syarikat penerbangan bagi membawa jenazah ke Malaysia," katanya. Tengku Khalidah turut memberitahu suami dan dua anak arwah turut mendapat pelbagai bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Fiza banyak berbakti untuk dunia hiburan Malaysia. "Pegawai media beliau juga berjaya mendapatkan tajaan penginapan sementara untuk keluarga arwah di sana, sementara menanti penerbangan pulang ke tanah air yang dijangka hanya dapat dilakukan pada minggu depan," katanya. Pada Khamis lalu, Fiza menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalam otak. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 11.30 malam waktu Malaysia. Fiza sebelum ini dilaporkan rebah secara tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London Selasa lalu ketika menanti penerbang pulang ke Kuala Lumpur. Suami Allahyarham kemudian membawanya ke hospital berkenaan bagi menerima rawatan. Sumbangan mampu ringankan beban keluarga Allahyarham. Bagaimanapun keadaan Allahyarham dilaporkan kritikal sejak dimasukkan ke hospital. Pada Julai 2018, Fiza disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga. Allahyarham yang juga editor di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media berkunjung ke London selepas terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama suami dan dua anak mereka. Meskipun keadaan kesihatannya kurang baik sebelum ini, keluarga memilih untuk menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaannya sendiri. Fiza sekeluarga berlepas ke negara berkenaan pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember lepas. Arwah sebelum ini pernah berkhidmat di akhbar Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan portal Astro Gempak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!