KUMPULAN popular dari Indonesia Ungu bakal menghiburkan peminat di negeri Pantai Timur dalam acara Pesta Muzik Kuantan yang akan diadakan pada 24 Februari tahun depan. Penampilan istimewa Ungu dan penganjuran pesta ini bersempena menyambut kepulangan Al-sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah yang bakal menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Teruja diberi peluang sebegitu, vokalis Ungu iaitu Pasha juga tidak sabar untuk menghiburkan peminat bersama-sama barisan artis tempatan yang turut terlibat pada acara berkenaan. Pasha teruja mahu jumpa peminat Kuantan. "Istimewa penganjuran Pesta Muzik Kuantan ini adalah bersempena dengan sambutan kepulangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Pahang. "Ia menjadi satu penghormatan buat Ungu apa lagi berkongsi pentas bersama barisan artis tanah air dan bertemu peminat. Ini mungkin akan menjadi pengalaman pertama kali kami menghiburkan penduduk Pahang dan rakyat Pantai Timur," katanya. Selain Ungu artis lain yang juga turut membuat persembahan adalah Naim Daniel, Khai Bahar, Ara Johari dan Nabila Razali. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sesuai jadi pelakon sebab pendek, juara Hero Remaja 2023 anggap orang persenda kerana cemburu ARTIKEL BERKAITAN: “Dugaan kecil sahaja” - Alif Satar tetap teruskan ‘Geng Subuh’ dan larian 1 Januari selepas kemalangan Sementara itu selaku penganjur, Haniah Hassan dan Showpro Enterteinment memberitahu kemunculan Ungu di Stadium Darul Makmur dalam acara kali ini pastinya menjadi satu detik istimewa buat rakyat negeri berkenaan. "Ungu tidak pernah mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur maka ia adalah peluang terbaik untuk rakyat negeri Pahang dan dari Pantai Timur datang ke sini menyaksikan persembahan mereka. "Kami turut menampilkan artis-artis tempatan yang berbakat besar untuk menghiburkan peminat," jelasnya. Bukan sekadar hiburan, penganjuran cara ini juga sekaligus bertujuan mengangkat budaya termasuk masakan dan produk tempatan sepanjang hari ia berlangsung. Pesta Muzik Kuantan bakal berlangsung pada Februari 2024. Dalam masa sama ia juga mahu mengangkat industri pelancongan negeri ini sebagai salah satu destinasi terbaik untuk dikunjungi. "Selain hiburan, Pesta Muzik Kuantan juga mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya termasuklah makanan dan produk tempatan kepada pengunjung," ujarnya. Lebih menarik lagi Pesta Muzik Kuantan menawarkan harga rahmah serendah RM58 untuk menikmati segala persembahan dan hiburan yang telah diatur sepanjang hari. Pembelian tiket boleh dibuat di laman web Ticket2u. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!