WARIS kepada wartawan hiburan Allahyarham Fiza Kamarudin yang meninggal dunia di London pada 28 Disember lalu layak menerima faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, hasil semakan rekod caruman Allahyarham mendapati Fiza pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza sejak Disember 2002. Kata Azman, faedah tersebut bukan hanya diterima dua anak Allahyarham yang masing-masing berusia 10 dan 8 tahun tetapi suaminya iaitu Roshdi Ramli. Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) berbual dengan Roshdi (empat dari kiri) dan ahli keluarganya. Azman menjelaskan Roshdi layak mendapat faedah Perkeso sepanjang hayat manakala dua anak mereka diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun. "Dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama," katanya ketika menziarahi keluarga Allahyarham. Azman berkata menerusi rekod caruman Perkeso keluarga Allahyarham layak menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan. ARTIKEL BERKAITAN: Suami wartawan Fiza perjelas tak layak dapat manfaat insurans dan kenapa tidak kebumi jenazah di London ARTIKEL BERKAITAN: Gurauan mahu ‘pergi’ jadi nyata, ibu Fiza Kamarudin sempat buat video call sebelum anak meninggal dunia Malah FPM pula sebanyak RM2,000 secara sekali bayar, menerusi Skim Keilatan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Pihak Perkeso juga berharap penyaluran faedah berkenaan dapat membantu kelangsungan hidup keluarga Allahyarham. Pada pertemuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet turut hadir dalam Ziarah Prihatin ini. Roshdi (kiri) menerima kunjungan daripada pihak Perkeso dan Altimet (dua dari kiri). Sebelum ini, tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) berjaya meraih sejumlah RM50,000 yang dikumpul dalam tempoh dua hari daripada kalangan artis, media, orang ramai dan sumbangan WHAM sendiri. Fiza atau Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London. Pada Julai 2018, Fiza disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga namun keadaannya kembali pulih sebelum sel barah dilaporkan kembali merebak di dalam tubuhnya. Jenazah yang tiba di Kuala Lumpur dari London pada 6 Januari lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathuk Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur. Arwah sebelum ini pernah berkhidmat di akhbar Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro Gempak dan portal Boom!. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!