DRAMA bersiri popular Rampas Cintaku yang disiarkan di iQIYI menjadi fenomena dalam kalangan penonton sehingga musim pertamanya mencatatkan jumlah tontonan secara digital lebih daripada 100 juta di platform berkenaan. Maka tidak hairan, musim keduanya menjadi buah mulut apatah lagi sedutan adegan intim lakonan Fasha Sandha dan Afieq Shazwan membuatkan penonton tak senang duduk. Pelbagai reaksi ditunjukkan peminat drama berkenaan namun apa yang pasti musim kedua Rampas Cintaku menjanjikan jalan cerita lebih panas dan akan membuatkan penonton teruja menanti episod seterusnya. Babak mesra Datin Safieya lakonan Fasha Sandha dan Rizal (Afieq Shazwan) sememangnya antara babak dinanti-nantikan. Adegan ranjang di antara Fasha dan Afieq menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen. Adegan atas katil yang dilakonkan mereka antara penarik di awal drama ini ditayangkan. Berbeza dengan musim pertama, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 40, lebih 'daring' dalam musim terbaharu ini apatah lagi hatinya cuba direbut oleh empat jejaka muda. Sudah enam episod bersiaran di iQIYI, debaran penonton mengenai plot di antara Datin Safieya bersama tiga watak lelaki lain lakonan Ady Mohammad, Lorenzo Irman dan Keith Foo akan membuatkan penonton geram dan tidak senang duduk. Ketiga-tiga lelaki itu Hisham (Keith), Asyraf (Ady) dan Haris (Lorenzo) cuba menawan hati Datin Safieya namun adakah mereka benar-benar cinta atau sekadar mahu membolot hartanya? Selain nafsu serakah Datin Safieya bersama anak ikan baharunya, nasib Rina lakonan Puteri Balqis Ashikin yang menjadi mangsa rogol juga antara kisah menarik di musim kedua ini. Cinta empat segi Datin Safieya membuatkan penonton tak senang duduk. Di sebalik adegan panas yang dihidangkan kepada penonton, Rampas Cintaku musim kedua ini juga menyelitkan kisah pengajaran di dalamnya. Antara yang diselitkan adalah tentang Sexually Transmitted Disease (STD) atau penyakit jangkitan kelamin yang merupakan virus merebak melalui aktiviti seksual. Akan tetapi siapa di antara mereka yang dijangkiti penyakit tersebut? Dalam cuba mengangkat kesedaran tentang bahaya penyakit kelamin, drama Rampas Cintaku 2 tetap mendapat kecaman hebat daripada penonton kerana merasakan adegan seksual dipaparkan tidak sesuai. Lakonan mantap Erra Fazira turut mendapat pujian penonton. Menganggap kecaman perkara biasa, Fasha percaya drama tersebut bukan sahaja menjanjikan jalan cerita menarik dan mendebarkan tetapi terselit mesej dan pengajaran kepada penonton. Kata Fasha, apa dipaparkan itu sekadar lakonan mengikut skrip serta arahan pengarah dan tidak lebih daripada itu. Jelas Fasha, Rampas Cintaku 2 ini bukan sekadar drama biasa namun ia merupakan kisah-kisah yang kerap berlaku dalam kalangan masyarakat yang tidak ramai menyedarinya. "Ambil pengajaran daripada jalan cerita Rampas Cintaku 2. Kita jangan pandang satu sisi sahaja, pandang sisi lain juga. "Kalau tak boleh terima, terpulang kepada mereka sebab penonton ada hak untuk menilai apa yang saya cuba sampaikan," jelasnya. Rampas Cintaku 2 turut dibintangi Zamarul Hisham, Erra Fazira, Zarynn Min, Alya Imann dan Ezaidi Aziz. Rampas Cintaku 2 bersiaran sebanyak 12 episod pada setiap Jumaat dan Sabtu pada pukul 9 malam di platform iQIYI. Untuk menonton lebih awal boleh melanggan pakej VIP semurah 0.23sen sehari!