suria

10 tahun cuba cipta nama belum ada hasil, Faez Malek lali ditolak tapi tak putus asa - “Tak tergamak cipta kontroversi”

Faez akan terus serlahkan bakat walaupun masih ramai belum sedar kehadirannya.

TIDAK pernah kenal erti menyerah mahupun putus asa, pelakon Faez Malek belum jemu mencuba nasib untuk dikenali walaupun tanpa sedar sudah 10 tahun berada dalam industri seni tempatan.

Faez, 36, berkata, sepanjang tempoh itu dia sudah terbiasa ditolak atau dipergunakan segelintir pihak produksi namun percaya masanya akan tiba suatu hari nanti.

Kata Faez, dia juga sudah lali dengan alasan namanya ditolak hanya disebabkan pengikut di media sosial tidak ramai berbanding beberapa nama lain seangkatannya.

"Bukan mengalah cuma letih dengan permainan industri seni. Saya faham setiap tahun akan ada wajah baru muncul.

DSC05711

Faez sudah lali dengan ragam belakang tabir.

"Jadi saya penat mencari ruang dan peluang untuk menapak dalam industri.

"Saya pernah ditolak hanya kerana pengikut di Instagram saya tak ramai. Mungkin pengarah nak tapi mungkin stesen televisyen tolak," katanya ketika dihubungi mStar.

Tidak cukup dengan itu, Faez memberitahu dia juga pernah menjadi mangsa penipuan apabila tidak dibayar selepas menyelesaikan sebuah projek drama kerana masalah bajet.

ARTIKEL BERKAITAN: Taruhan Tiktokers keluar lagu menjadi, terus trending selepas dilancarkan... Arul Rasheed belum sedia nyanyi live depan peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan tahun hadir uji bakat semua ditolak, pandemik buka peluang rakam lagu... Jom kenali penyanyi baharu Hazim Razali

Katanya, insiden itu kerap berlaku apabila pihak produksi hanya menggunakan perjanjian secara verbal yang akhirnya tidak ditepati.

"Pernah juga terima bayaran rendah dan ditipu... kadang bukan sebab pengikut tapi dia suka bakat kita dan hanya nak guna satu babak sahaja.

"Janji harga lain tapi sekali bayar lain pula... biasanya mereka mahu watak extra tapi dia nak kesan yang besar jadi saya pernah terima sebanyak RM150 untuk satu hari.

Saya nak jadi seorang pelakon kerana niat dan minat saya.

FAEZ MALEK

PELAKON

"Tapi itu masa awal dahulu... sekarang ini saya sudah tahu nilaikan diri saya untuk letak berapa harga jika mahukan bakat saya," luahnya.

Dalam pada itu, dia juga pernah merancang untuk mengikut strategik beberapa pelakon baharu dengan membeli pengikut atau mencetuskan kontroversi untuk meningkat naik.

Namun dia tidak tergamak melakukan perkara berkenaan kerana tidak pasti akan kesannya.

DSC04829

Banglo Sekyen 12 filem pertama Faez.

"Saya ada bertanya pelakon-pelakon baharu, mereka cadangkan saya untuk beli pengikut tak pun buat konten yang boleh mencetuskan kontroversi atau viral.

"Saya tak tahu nak cipta apa tapi saya pernah terfikir nak beli pengikut tapi saya rasa sampai bila.

"Jauh dari sudut hati saya agak susah nak lakukan semua itu kerana saya nak jadi seorang pelakon kerana niat dan minat saya," luahnya.

DSC06051

Filem Banglo Seksyen 12 diharap dapat menaikkan kembali namanya.

Bagaimanapun dia kini bersyukur bakatnya semakin menyerlah apabila diberi peluang memegang watak Fahmi menerusi filem Banglo Seksyen 12 yang ditayangkan Janurai lalu.

"Saya rasa teruja sebab filem ini berlainan berbanding drama.

"Tapi dalam teruja saya ini adalah peluang dan saya ingin membuktikan di skrin besar agar orang lain boleh lihat bakat saya," kongsinya.

Berikut adalah 5 fakta menarik tentang Faez Malek yang mungkin tidak diketahui peminat.

1. Faez adalah bekas pelajar kejuruteraan sebelum terjun dalam bidang lakonan.

2. Sudah berkahwin dan memilik dua orang cahaya mata.

3. Pernah bergelar seorang jurutera.

4. Kini bekerja tetap sebagai pengurus sumber manusia dia sebuah syarikat swasta.

5. Selain berlakon, Faez juga berbakat besar dalam pementasan teater dan penari muzikal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain