suria

Hormat keputusan tarik diri, FMC pilih Afieq Shazwan ganti Jamal Abdillah berentap di AJL38

Afieq bakal menggalas tugas menggantikan Jamal di pentas AJL38.

PENYANYI Afieq Shazwan dipilih menyanyikan lagu Kucuma bersama Wany Hasrita selepas Datuk Jamal Abdillah mengumumkan menarik diri daripada menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Perkara itu disahkan oleh syarikat rakaman FMC Music selepas berbincang mengenai pengganti Jamal dengan komposer lagu berkenaan iaitu Ezra Kong.

"Setelah berbincang kami bersetuju menamakan Afieq sebagai pengganti Jamal untuk berduet dengan Wany di pentas AJL38 nanti.

afieq shazwan 2

Pihak FMC yakin Afieq boleh memberi persembahan terbaik.

"Keputusan itu dibuat berdasarkan kredibiliti dan kemampuan Afieq dan kami yakin dia mampu memberikan persembahan dan kerjasama yang baik dalam menyampaikan lagu tersebut," kata wakil FMC Music menerusi satu kenyataan media kepada mStar pada Isnin.

Sebelum ini kecoh apabila Jamal membuat keputusan menarik diri daripada bertanding susulan tidak berpuas hati dengan pihak penganjur AJL38 yang didakwa tidak menyediakan sebarang bayaran kepada artis bertanding.

Jamal ketika dihubungi mStar memberitahu keputusan itu dibuat kerana menganggap ia sebagai tidak adil memandangkan penganjur mengenakan bayaran kepada penonton yang hadir selain mendapat tajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur jual tiket dapat tajaan jutaan ringgit tak bayar artis bertanding, Jamal Abdillah tarik diri sertai AJL38

ARTIKEL BERKAITAN: Santai nyanyian Naqiu Lagu Terbaik SFMM38 hari ketiga, antara 12 karya mara ke Anugerah Juara Lagu 38

Sementara itu, Pengarah Urusan FMC Music iaitu C. F. Ho menghormati keputusan Jamal menarik diri dan sudah meminta penyanyi legenda itu memaklumkan sendiri kepada penganjur mengenai perkara tersebut.

"Pihak kami tidak dapat berbuat apa apa jika keputusan itu telah dibuat sendiri oleh Jamal dan dipersetujui pihak produksi.

"Jamal ada beritahu mahu menarik dari dan saya cadangkan agar dia sendiri bercakap dengan pihak produksi AJL38 kerana perkara ini di luar bidang kuasa selaku syarikat yang menerbitkan lagu," jelasnya.

jamal abdillah 2

Jamal umum tarik diri bertanding di AJL38.

Sementara itu, Afieq pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segala keputusan kepada pihak pengurusannya.

Kucuma merupakan antara 12 lagu layak bertanding di pentas AJL38 yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 3 Mac ini.

Lagu tersebut merupakan ciptaan bersama Ezra dan A. Ramlee.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain