suria

“Nasib tidak menyebelahi dia” - Ezad Lazim dan Exists sedia terima Mamat kembali bersama kumpulan

Ezad (kiri) doakan yang terbaik buat Mamat.

SENTIASA mendoakan yang terbaik buat Mamat Exists, penyanyi Ezad Lazim berharap apa yang sedang berlaku terhadap rakannya itu boleh dijadikan sebagai pengajaran buat semua.

Kata Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 45, dia dan anggota Exists lain turut bersedia menerima Mamat bersama kumpulan itu pada masa akan datang meskipun sedang berdepan perbicaraan mahkamah berkaitan pertuduhan dadah.

"Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Mamat. Semoga dipermudahkan segala dugaan yang melanda hidup dia. Apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran untuk Mamat sendiri dan mereka yang di luar sana.

ezad 2

Mamat dan Ezad bersama kumpulan Exists ketika konsert mereka pada Disember tahun lalu.

"Saya bersama Exists tiada sebarang masalah dengan Mamat. Kita doakan bila selesai segala urusan Mamat nanti, tiada masalah untuk dia kembali bersama kami," katanya.

Tambah Ezad dia dan rakan-rakan Exists yang lain juga sudah sedia maklum mengenai penahanan Mamat pada 7 Januari lalu atas dakwaan memiliki dadah yang dilakukan pada tahun 2016, 2018 dan 2019.

Bagaimanapun Ezad lebih selesa mengambil langkah berdiam berhubung hal berkenaan memandangkan kes tersebut masih di bawah siasatan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat mengaku tak bersalah miliki dan guna dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat diperintah jalani rawatan psikiatri, tenang mohon doa dan sokongan peminat

"Kami tahu ketika dia ditahan sebab memang hubungan antara kami rapat. Namun ketika itu tidak boleh berbuat apa-apa. Kami pun tidak boleh memberi komen sebab ini kes polis.

"Kami kenal dia macam mana tapi mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi dia," ujarnya.

Dalam pada itu, Ezad juga memberitahu penahanan Mamat itu tidak mengganggu perjalanan kerjaya seni kumpulan Exists selepas kali terakhir mereka sama-sama membuat persembahan di Konsert Exists Orkestra 22 pada Disember tahun lalu.

mamat 1

Mamat diperintahkan jalani pemeriksaan psikiatri.

"Nasib baik projek bersama Exists sudah selesai. Kami masih ada konsert unplugged di Singapura tapi Mamat memang tidak terlibat. Mungkin Ajai ada nak buat single bersama Mamat... dia yang lebih tahu hal itu," jelasnya.

Pada 23 Januari lalu, Mamat atau Mohd Ali kamarudin, 46, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan dirinya di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor.

Majistret Johor Bharu, Hidayatul Syuhada Shamsudin memerintah penyanyi itu menjalani rawatan psikiatri dan kes akan disebut semula pada 22 Februari ini bagi mendengar laporan perubatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain