MENGGANTIKAN Datuk Jamal Abdillah di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38, penyanyi Afieq Shazwan menganggap ia sebagai satu tanggungjawab yang cukup besar. Kata Afieq atau Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, dia juga merasakan tidak layak melaksanakan tugasan tersebut sehingga pernah meminta agar mencari penyanyi lain sebagai pasangan duet bersama Wany Hasrita. "Apabila ada khabar angin Datuk Jamal menarik diri, nama saya mula disebut sebagai pengganti. Ketika itu saya sendiri rasa tidak layak dan minta cari pengganti lain malah saya cadangkan beberapa nama penyanyi untuk lagu itu. Jamal umum tarik diri bertanding di AJL38. "Kalau boleh saya memang tidak mahu menyanyikan lagu itu namun setelah dipersetujui saya anggap ia sebagai satu tanggungjawab dan harus melaksanakan sebaik mungkin," katanya kepada mStar. Sebelum ini menerusi satu kenyataan dikeluarkan oleh pihak FMC Music, nama Afieq diumumkan menggantikan Jamal selepas penyanyi itu membuat keputusan untuk menarik diri. Jamal ketika dihubungi mStar memberitahu keputusan tersebut dibuat kerana tidak berpuas hati dengan pihak penganjur yang enggan mengeluarkan bayaran buat peserta sedangkan tiket AJL38 dijual kepada penonton. ARTIKEL BERKAITAN: Hormat keputusan tarik diri, FMC pilih Afieq Shazwan ganti Jamal Abdillah berentap di AJL38 ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur jual tiket dapat tajaan jutaan ringgit tak bayar artis bertanding, Jamal Abdillah tarik diri sertai AJL38 Melakukan persiapan dalam masa singkat, bagi Afieq ia juga satu cabaran besar buatnya memandangkan dia tidak pernah menjadi pasangan duet Wany sebelum ini. "Saya dan Wany berkawan sebab kami sama-sama di bawah satu syarikat pengurusan namun tidak pernah menyanyi duet. Memang tiada masalah wujudkan keserasian, bagaimanapun untuk lagu ini persiapan agak singkat. "Di pihak saya sekarang ini boleh dikatakan baru 50 peratus siap. Saya juga baru sekali menghadiri kelas untuk mendalami lagu ini," ujarnya. Afieq mahu beri persembahan terbaik di pentas AJL38. Dalam masa sama Afieq turut meluahkan rasa bimbang kerana masalah kesihatan dihadapi susulan terlibat dalam kemalangan ketika bercuti di Thailand baru-baru ini. Bagaimanapun sebagai seorang penyanyi profesional dia menyahut cabaran dan berjanji memberikan persembahan terbaik di pentas AJL38 yang bakal berlangsung pada 3 Mac ini di Arena Axiata, Bukit Jalil. "Semoga saya cepat sembuh dan dapat mudahkan kerja semua orang. Itu sahaja yang saya mahukan. Ini satu tanggungjawab dan saya tidak mahu ia terhenti separuh jalan. "Diharapkan peminat dapat menikmati persembahan lagu ini versi saya. Saya mahu teruskan perjuangan untuk semua yang terlibat dalam lagu ini," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!