suria

Peminat bimbang Aina Abdul banyak sangat ‘show’, minta fokus persediaan AJL38

Aina berdebar menunggu malam kemuncak AJL38.

MENGHARAPKAN persembahan terbaik di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38),ada dalam kalangan peminat Aina Abdul mula bimbang sekiranya penyanyi itu gagal berbuat demikian gara-gara jadual kerja yang terlalu sibuk.

Kata Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, kegusaran tersebut diluahkan menerusi pesanan di media sosial yang meminta dia untuk mengurangkan jemputan persembahan sebelum menjelang malam kemuncak AJL38 pada 3 Mac ini.

Bagaimanapun sebagai seorang yang sudah punya pengalaman beraksi di pentas itu, Aina cukup tahu untuk menjaga kesihatan diri sendiri agar fokusnya tidak terganggu untuk persembahan tahun ini.

aina abdul 3

Aina masih terikat dengan jadual persembahan meskipun sibuk melakukan persiapan AJL38.

"Banyak persembahan sepanjang bulan Februari ini dan syukur itu adalah rezeki. Ada peminat yang hantar mesej dan minta saya kurangkan jemputan persembahan namun kebanyakannya telah dipersetujui awal.

"Jadi tanggungjawab saya untuk pastikan agar momentum dalam nyanyian terus kekal sehingga malam AJL38. Saya akan pastikan walau banyak jemputan persembahan ia tidak akan mengganggu persiapan ke AJL38. Jika rasa kurang sihat saya akan segera berjumpa doktor," katanya kepada mStar.

Aina ditemui ketika majlis KNKV Viral Awrad 2024 yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada malam Selesa di mana dia menerima anugerah Diva Terulung pada acara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul ‘Diva Terulung’ KNKV Viral Award 2024, mahu kerja keras demi peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam persalinan gah tapi hilang diri sendiri, 2023 tahun sukar buat Aina Abdul

Bercerita lanjut mengenai persediaan AJL38, penyanyi lagu Terus Hidup ini juga akan memastikan dia menjalani sesi latihan walaupun dalam tempoh singkat.

Tambah Aina, dia sudah menetapkan seminggu sebelum berlangsung AJL38 nanti fokus akan diberikan sepenuhnya dan tiada lagi undangan menyanyi di tempat lain.

"Walau sibuk sekalipun saya akan curi-curi masa untuk berlatih. Saya ada pasukan pengurusan yang sentiasa ingatkan sekiranya terlalu banyak kerja. Saya tidak pernah rasa selesa untuk ke AJL38 dan tahun ini cabarannya lebih tinggi.

aina abdul 1

Aina pasang niat adakan konsert jelalah seluruh Malaysia.

"Ahad nanti adalah jemputan persembahan saya terakhir untuk bulan ini dan selepas itu akan terus fokus dengan latihan," ujarnya.

Sementara itu bercakap tentang pengiktirafan di KNKV Viral Award 2024, Aina menganggap ia satu anugerah besar baginya sekaligus memberi semangat untuk terus maju dalam kerjaya.

Dia juga memasang impian untuk mengadakan konsert jelajah ke seluruh negeri di Malaysia sebagai penghargaan buat peminat.

"Antara impian saya dalam kerjaya adalah adakan konsert jelajah di setiap negeri. Saya juga mahu mencuba untuk mengadakan konsert di Indonesia," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain