suria

Vokal dapat pengiktirafan bukan bermaksud lebih baik daripada Ernie Zakri - Aina Abdul

Aina sudah penat selalu dibanding-bandingkan dengan Ernie.

PENYANYI Aina Abdul penat apabila masih ada pihak cuba membanding-bandingkan dia dengan rakan baiknya iaitu Ernie Zakri selepas kategori Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung pada malam Ahad lalu menjadi miliknya.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, segelintir pihak yang terus menerus cuba melaga-lagakan dia dan Ernie bukanlah peminat sebenar.

"Sudah tentu penat sebab saya cuba nak wujudkan persekitaran yang sihat dan membantah semua ideologi dua penyanyi perempuan perlu begitu dan begini.

size NP 1 (37)

Aina dan Ernie pernah berkongsi satu pentas untuk menyanyi bersama.

"Kita cuba nak bawa perkara positif tapi mulut segelintir netizen di luar sana yang cakap bukan-bukan, saya rasa mereka bukan peminat yang sebenar," katanya kepada mStar.

Aina berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pelancaran koleksi raya Amber X Anna Jobling yang berlangsung di The Estate Kuala Lumpur pada pagi Selasa.

Dalam pada itu, Aina turut memuji persembahan rakan baiknya itu ketika menyanyikan lagu Astana yang disifatkan sebagai sangat baik.

Malah kata Aina, meskipun trofi Vokal Terbaik menjadi miliknya namun itu bukan bererti dia penyanyi lebih baik daripada Ernie tetapi ia soal rezeki.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ernie Zakri saingan hebat kategori vokal AJL38, ketua juri perjelas kemenangan ‘Hasrat’

ARTIKEL BERKAITAN: Ernie Zakri menangis bukan sebab kalah AJL38, terharu tengok 200 peminat hadir beri sokongan

Apabila saya diberi kemenangan itu bukan bermaksud saya lebih baik daripada Ernie.

AINA ABDUL

PENYANYI

"Ernie memberikan persembahan yang sangat baik dan sebagai kawan paling rapat dalam industri saya tahu kepayahan dan semangat dia untuk bertanding di AJL38 walaupun berdepan sedikit ujian pada peringkat separuh akhir sebelum ini.

"Peminat boleh marah atau banding-bandingkan kami tapi dalam pertandingan saya perlu fokus dan ada tanggungjawab yang perlu saya bawa.

"Apabila saya diberi kemenangan itu bukan bermaksud saya lebih baik daripada Ernie. Ia cuma rezeki dan Ernie bagus dalam caranya yang tersendiri dan kalau ada anugerah lain dia sangat layak menerimanya," ujarnya.

Kata Aina lagi, anugerah diterima bukan kekal sebaliknya perlu bersaing jika menyertai AJL pada masa akan datang.

size NP 1 (38)

Aina berjaya merangkul tiga trofi di AJL 38.

"Anugerah tersebut adalah pinjaman, tahun depan kena bertarung lagi. Tiada yang tetap dalam hidup saya, ia hanya sementara sahaja," ujarnya.

Untuk rekod, lagu ciptaan Aina iaitu Jangan Mati Rasa Itu berjaya mendapat tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi.

Dia juga diumumkan sebagai penerima Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa yang masing-masing membawa RM12,000 dan trofi.

Sementara itu, Lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari muncul sebagai juara AJL38 sekali gus membawa pulang RM100,000 dan trofi.

Manakala naib juara pula dirangkul oleh Aisha Rento menerusi lagu Sutera dan membawa pulang RM50,000 berserta trofi.

Aisha juga diumumkan sebagai penerima Persembahan Terbaik yang membawa pulang RM12,000 dan trofi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain