DIMINTA mengalihkan kaki yang dianggap menganggu laluan punca penyanyi era 80-an Shidee bergaduh dengan abang iparnya dalam kejadian di rumah ibu mentuanya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu. Shidee atau Rashid Abdul Wahab, 65, berkata, ketika ditegur abang iparnya dia sedang duduk menghafal lagu dan mempersoalkan mengapa dia perlu mengalihkan kakinya. Katanya, abang iparnya yang berusia 41 tahun kemudiannya masuk ke bilik air sebelum keluar dan memarahinya sehingga berlaku pertengkaran di antara mereka. Shidee keliru dengan punca perbalahan bersama abang iparnya. "Saya tanya kenapa kena alihkan kaki sedangkan dia boleh jalan? Dia masuk bilik air sambil merungut, apabila keluar dia marah-marah saya tanpa tahu puncanya. "Berlaku pertengkaran malam itu, ada tolak menolak juga tapi habis malam itu," katanya. Shidee berkongsi perkara itu menerusi temu bual program Melodi pada Ahad. Dalam pada itu, Shidee memberitahu dia berkongsi cerita kejadian tersebut kepada isterinya namun perbualan mereka didengari lelaki tersebut dan mencetuskan kemarahannya. ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Shidee direman pukul abang ipar, pengurus mohon biar polis buat siasatan ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Shidee mengaku ambil masa berbulan pulih hubungan dengan ibu mentua... Lega akhirnya perkahwinan dapat restu Kata Shidee, ketika mereka bergaduh dia tidak sedar apa yang berlaku namun hadir ke Balai Polis Sungai Besi untuk membantu siasatan selepas abang iparnya membuat laporan. "Ketika bergaduh saya tak sedar apa terjadi, luka ke, patah ke, saya tak tahu! "Saya pun tak ingat apa-apa. Saya pergi ke balai polis untuk beri kenyataan dan memang berlaku pergaduhan. Saya direman selama dua hari untuk siasatan," ujarnya. Shidee bagaimanapun menganggap kejadian itu adalah ujian dan menyangkal dakwaan netizen yang mengatakan dia seorang panas baran. Shidee sedia berdamai dengan abang iparnya. Malah kata Shidee, dia bersedia melupakan semua sengketa dan berdamai dengan abang iparnya. "Demi Allah saya tak salah walaupun orang salahkan saya dan kata tak betul tapi percayalah Allah lebih mengetahui," katanya. Pada 25 Mac lalu, Shidee dilaporkan memukul abang iparnya menggunakan batang besi sehingga menyebabkan kecederaan. Lelaki berkenaan turut membuat laporan polis selepas mendapatkan rawatan di hospital. Pada tahun 2010, Shidee pernah terpalit isu kontroversi berhubung perkahwinannya dengan Siti Fairunnisa Aziz tidak direstui oleh ibu mentuanya susulan jarak usia antara dia. Untuk rekod, Shidee dan Siti Fairunnisa berkahwin pada 1 Februari 2010 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!