suria

Tetap jadi pilihan pendengar, sentuhan Pak Ngah jadikan lagu raya Siti Nurhaliza malar segar

Siti dan keluarga bakal beraya di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Pahang.

LAGU hari raya nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza sering kali menjadi pilihan para pendengar walaupun pelbagai karya lain muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Menjawab mengenai perkara itu, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berkata, sentuhan Allahyarham Pak Ngah Suhaimi sememangnya berjaya membuatkan lagu-lagu nyanyiannya terus mendapat tempat di hati pendengar.

Kata Siti lagu ciptaan Allahyarham memang menepati citarasa pendengar yang terkenal dengan kebudayaan.

434592975_1095371405037198_2812475686916953386_n

Siti kagum dengan sentuhan karya Allahyarham Pak Ngah Suhaimi.

"Saya rasa kehebatan lagu raya terletak pada penciptanya dan kebanyakan lagu raya saya adalah ciptaan Pak Ngah.

"Memang kita ini orang Malaysia ada citarasa yang tak boleh kita lupakan iaitu budaya dan juga muzik melambangkan identiti kita.

"Pak Ngah ni memang insan yang sangat istimewa dan kalau sebut tentang penciptaan lagu raya memang tiada tolok bandingnya," katanya.

Antara lagu raya ciptaan Pak Ngah nyanyian Siti seperti Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran dan Anugerah Aidilfitri yang saban tahun dimainkan di radio apabila tibanya Syawal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Suka gosip tau”... Siti Nurhaliza ‘post’ gambar dengan Datuk K, minta jangan fikir bukan-bukan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kongsi masalah peribadi di IG bukan cara Siti Nurhaliza, bakal sibuk dengan program Infaq sepanjang Ramadan

Bagaimanapun, Siti juga percaya setiap orang pastinya mempunyai citarasa yang dalam memilih lagu raya.

Malah dia berpendapat lagu-lagu raya ketika ini turut berjaya menambat hati pendengar terutama golongan muda.

"Saya tak kata lagu raya baru ni tak bagus. Ada yang mengikut trend anak muda kerana citarasa mereka juga berbeza.

"Tapi bila kata nak hari raya, kita tak boleh lari daripada budaya kita sendiri. Raya mesti nak kemeriahan dengan lagu raya," luahnya.

434600229_784693526909638_5312549984386793209_n

Siti percaya setiap lagu raya ada peminat yang tersendiri.

Berkongsi mengenai aktiviti hari raya, Siti memberitahu dia dan keluarga akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum pulang ke Kuala Lipis, Pahang.

"Raya pertama kami akan berada di Kuala Lumpur kerana ibu mentua memang duduk sekali dengan kami.

"Anak-anak pun mungkin di KL dan kemudian barulah kita fikir nak ke mana-mana.

"Biasanya ke Kuala Lipis dalam raya ketiga atau keempat," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain