suria

Adi Putra rindu doa seorang ibu, syukur dapat jadi imam solat jenazah

Masih mahu muliakan ibu, Adi Putra sentiasa teringat arwah ibunda tercinta.

HAMPIR setahun berlalu, tiada sehari pelakon Datuk Adi Putra tidak teringatkan ibu tersayang iaitu Allahyarham Noor Banoo Khan Mohd.

Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 43, berkata, dia juga sangat merindui doa ibunya yang sering dipanjatkan arwah semenjak dia bergelar anak perantau lebih 20 tahun lalu.

"Saya sebagai anak perantau daripada umur 21 tahun, arwah ibu adalah segala-galanya bagi saya dan langsung tiada pengganti.

"Bukan mudah nak merantau tapi semangat dan doa tidak putus seorang ibu membuatkan saya bertahan.

size NP 1 - 2024-04-01T152841.141

Adi Putra syukur sempat menjadi imam sewaktu solat jenazah buat arwah ibunya.

"Saya berdiri di sini bukanlah untuk dimasyurkan tapi ibu saya dialah segalanya," katanya kepada mStar.

Adi berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem pendek Elrah Exclusive yang diadakan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Adi meluahkan rasa syukur apabila dapat menjadi imam serta mengiringi jenazah Allahyarham sehingga ke liang lahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Adi Putra meninggal dunia di Singapura

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta lokasi bukan isu baru, dulu tak kecoh sebab tiada media sosial... Adi Putra sendiri pernah ditohmah

Kata Adi yang berada di Madinah ketika itu, dia sendiri tidak menyangka ada keajaiban apabila dia sempat pulang ke Singapura bagi memberi penghormatan terakhir kepada ibu tersayang.

"Alhamdulillah saya boleh katakan dari sudut positif saya berada di Madinah ketika itu dan sempat pulang ke Singapura.

"Syukur dapat imamkan arwah bonda saya dan iring Allahyarham sehingga ke liang lahad. Ini semua kehendak Allah tapi rindu ini tiada penghujungnya," ujarnya.

Rindu ini tiada penghujungnya.

DATUK ADI PUTRA

PELAKON

Sementara itu, Adi berkata, masih ada banyak perkara dia mahu lakukan untuk ibunya namun ia tidak kesampaian.

"Kami dilahirkan pada bulan sama iaitu arwah pada 16 dan saya 26 Februari.

"Nak kata ralat itu tidak tapi masih banyak perkara yang ingin saya lakukan dan memuliakan arwah sebagai ibu," katanya.

Untuk rekod, Noor Banoo meninggal dunia pada 15 September tahun lalu dan Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman, Singapura.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain