TIADA angin tiada ribut, penyanyi rap Loca B mengumumkan pengunduran diri daripada dunia seni pada Jumaat. Loca atau Nabilah Hani Azali, 32, berkata, keputusan itu dibuat kerana ingin memberi tumpuan sepenuh masa membesarkan dua orang anaknya. "Saya tidak lagi berminat untuk berada dalam industri hiburan Malaysia. "Saya sangat suka menjadi seorang ibu dan isteri. Saya mahu memberi fokus kepada kehidupan (anak-anak) yang saya bawa ke bumi ini," katanya. Loca pilih bersara untuk besarkan anak-anak. Loca berkongsi perkara itu menerusi Instagram miliknya yang turut memaparkan persembahan terakhir dalam sebuah acara. Dalam pada itu, Loca berkata keputusan itu dibuat kerana ingin menjadi contoh baik kepada anak-anak yang sedang membesar memandangkan dia tidak berpeluang mempelajari banyak perkara ketika kecil. Isteri kepada penyanyi rap Tuju itu juga mahu memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan serta didikan agama yang baik. "Saya nak ajar anak saya perkara yang saya tak pelajari ketika kecil. Saya mahu jadi contoh kepada mereka tentang perhubungan sihat. Saya mahu rumah tangga yang indah, tiada hasutan orang luar. ARTIKEL BERKAITAN: 8 tahun menanti, akhirnya anak Loca B dapat status warganegara Malaysia ARTIKEL BERKAITAN: Anggap hari terbaik, anak Loca B terima Sijil Kelulusan Warganegara Malaysia "Saya juga mahu anak-anak faham tentang agama dan bagaimana menjadi manusia yang jujur (saya juga sedang belajar). "Saya nak sesuatu yang mencabar otak. Mewahkan dengan ilmu pengetahuan," ujarnya. Sementara itu, Loca turut menyifatkan dunia hiburan penuh dengan kepalsuan dan manipulasi yang sia-sia. Loca turut terkilan dengan sikap segelintir manusia yang menggunakan agama bagi menutup sesuatu perkara demi kepentingan diri. Persembahan terakhir yang dilakukan Loca pada sebuah acara. "Kepalsuan, tikam bekang dan manipulasi ini tidak berbaloi. "Tiada hormat pada rumah tangga. Orang-orang secara terbuka tidak hormat kepada pasangan masing-masing di mana sahaja mereka pergi. "Kebanyakan orang gunakan agama untuk sembunyikan kebenaran," ujarnya. Dia turut memberitahu keadaan Palestin ketika ini sedikit sebanyak membuka matanya untuk membuat keputusan tersebut. "Palestin yang membuka mata saya secara jujurnya. Terima kasih kepada semua yang sudah menyokong sepanjang perjalanan saya," ujarnya. Loca bersama suaminya Tuju. Untuk rekod, Loca mula aktif sejak 2018 dan dikenali menerusi gandingan Noki K-Clique sebagai penyanyi rap dalam lagu Gila nyanyian Kaka Azraff. Lagu berkenaan berjaya menjulang trofi Anugerah Juara Lagu ke35 (AJL35). Loca dan Tuju atau Muhd Azree Shah Awang Zamree berkahwin pada Mac 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Bintang Aiko, 2 tahun. Dia juga mempunyai seorang anak lelaki, Yusuf Alexander hasil dari perkahwinan terdahulu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!