suria

Pelakon dan penyair Pyan Habib meninggal dunia

Pyan Habib meninggal dunia pada usia 66 tahun.

PENYAIR dan pelakon Pyan Habib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor pada malam Selasa.

Pyan atau Mohd Supyan Abdul Rahman menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun.

Berita duka itu dikongsi oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi.

"Dukacita dimaklumkan seniman Pyan Habib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi.

pyan - 1

Pyan merupakan penyair selain bergelar pelakon filem.

"Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepada Allah juga kita akan kembali," katanya.

Najwan berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Sementara itu, jenazah difahamkan akan dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada pukul 9 pagi Rabu.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 pada pukul 10 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pyanhabib Kesal Produksi Drama Terbaik Tidak Beri Kredit Puisinya

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota kumpulan Rabbani Nazrul Azhar meninggal dunia

Untuk rekod, Pyan mula mengarang puisi dengan menggunakan mesin taip Olivetti milik A. Latiff Mohidin di Anak Alam pada tahun 1976, lalu disiarkan oleh Usman Awang dalam Dewan Sastera pada tahun 1980-an.

Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada era 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Pyan juga pernah berkhidmat sebagai penyunting syarikat akhbar Utusan Melayu dan merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana hilang deria pendengaran pada usia 12 tahun setelah diserang demam panas.

Pada 1986, Pyan dan penyanyi Datuk M. Nasir terjun ke bidang lakonan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan.

pyan1 - 1

Pyan pernah membintangi beberapa filem popular termasuk Kembara Seniman Jalanan.

Bakat lakonannya terus mendapat pujian apabila muncul menerusi filem arahan Datuk Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah.

Menerusi lakonannya dalam filem Tsu Feh Sofiah, Pyan memenangi trofi Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 namun bertindak memulangkan trofi kemenangannya.

Aktor berkenaan menolak penganugerahan tersebut atas alasan terkilan tidak dipertandingkan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan.

Antara filem lain yang menampilkan Pyan adalah Rock Oo!, Apokalips X, Mat Som, Tak Kisahlah Beb dan Ucop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain