MENANTI 20 tahun untuk mengadakan konsert solo pertamanya, penyanyi Jaclyn Victor menyifatkan ia sebagai hadiah selepas melalui pelbagai halangan dan cabaran sepanjang bergelar anak seni. Mengimbau kenangan bergelar penyanyi di sebuah kelab malam, Jaclyn, 46, berkata pernah dihina oleh seorang pemandu teksi yang menghantarnya ke tempat kerja. Malah ia bukan kali pertama dia diajukan pelbagai pertanyaan sinis dan dipandang negatif apabila memberitahu tentang kerjayanya namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya mencapai impian bergelar penghibur profesional. Jaclyn bakal adakan konsert solo 12 Oktober ini. "Sebelum bergelar artis, saya menyanyi di sebuah kelab malam dan biasanya saya akan naik teksi untuk ke tempat kerja. "Apabila pemandu itu bertanya saya hendak ke mana, saya biasanya akan jujur memberitahu mahu ke kelab malam. "Respons biasa yang mereka akan beri sama ada ibu saya tak marah berkunjung ke kelab malam? Ramai memandang negatif terhadap saya. "Tetapi saya tak ambil hati dan selalunya hanya beritahu mahu berjumpa kawan," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Jaclyn Victor juara All Stars Gegar Vaganza, bawa pulang wang tunai RM200,000 ARTIKEL BERKAITAN: Jaclyn tahu bekas suami kahwin menerusi IG, sempat datang Malaysia jumpa anak-anak Jaclyn berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Jaclyn Victor First Solo Concert yang diadakan pada Selasa lalu. Dalam pada itu, Jaclyn berkata, dia hanya menelan semua cakap-cakap negatif orang di sekelilingnya kerana ibunya iaitu Maggie Victor sentiasa menyokong impiannya. Malah tidak pernah sekali pun ibunya memandang rendah kepada kerjayanya sebagai penyanyi kelab malam malah percaya dia akan berjaya mencapai impian. "Saya hanya menyanyi di sana (kelab malam) mujur ibu saya tak pernah halang asalkan saya pandai jaga diri. "Masa saya menyertai program Malaysian Idol, ibulah individu paling teruja malah sejak itu dia menjadi tulang belakang saya sehingga ke hari ini," kongsinya. Ramai memandang negatif terhadap saya. JACLYN VICTOR PENYANYI Bercakap mengenai konsert tersebut, Jaclyn memberitahu dia teruja apabila selepas dua dekad berada dalam industri akhirnya menemui keberanian untuk tampil dengan persembahan solo pertamanya. Katanya, bukan mudah untuk kekal relevan dalam industri muzik namun bersyukur akhirnya berjaya mengadakan konsert pertamanya. "Bukan senang nak kekal relevan dalam industri selama 20 tahun. Saya teruja walaupun sebelum ini ada juga terfikir ada ke orang nak datang konsert saya? "Selepas 20 tahun saya rasa sudah tiba masanya untuk saya memberanikan diri. Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa menyokong karier saya," jelasnya. Jaclyn Victor First Solo Concert akan menyaksikan penyanyi lagu Gemilang itu akan menyanyikan sebanyak 25 buah lagu yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2024. Ibu Jaclyn sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya seni anaknya. Antara lagu yang bakal didendangkan adalah Beribu Sesalan, Cinta, Ikut Rentakku, Bertamu Di Kalbu, Di Bawah Pohon Asmara, Ceritera Cinta dan Cepat-Cepat. Tiket bagi menyaksikan konsert tersebut dijual pada harga RM258 (Jagalah Diri), RM328 (Cinta Tiada Akhirnya), RM388 (Bertamu Di Kalbu), RM438 (Ikut Rentakku) dan RM488 (Gemilang). Bagi kategori VIP, tiket dijual pada harga RM688 atau RM8,888 untuk kotak VIP yang boleh memuatkan 10 orang. Tiket mula dijual pada 6 Jun 2024 bermula pukul 12 tengah hari di laman web Live Pass Asia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!