BEKAS suami kepada pelakon Nora Danish iaitu Nedim Nazri melihat perceraian yang berlaku tidak akan mengubah hubungan baik antara mereka. Bagi Nedim atau Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, perkara tersebut akan kekal dipelihara meskipun mereka kini bukan lagi berstatus suami isteri. "Tiada yang berubah, cuma dia bukan milikku dalam Islam," katanya ringkas. Nedim dan Nora berpisah selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Nedim berkongsi perkara tersebut di laman Instagram miliknya pada awal pagi Khamis selepas sah bercerai talak satu dengan Nora. Dalam masa sama, dia juga seolah-olah meletakkan harapan jodoh antara mereka akan kembali bertaut. "Percayalah kalau dia milikku, dia akan kembali milikku," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan 7 tahun berakhir, Nora Danish dan Nedim bercerai talak satu ARTIKEL BERKAITAN: Nora Danish pilih telan masalah keluarga, enggan buka aib sesiapa - “Saya tanggung semua kesalahan” Pasangan ini sah bercerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada malam Rabu. Nedim melafazkan talak terhadap Nora sekaligus menamatkan spekulasi pergolakan rumah tangga mereka sebelum ini. Nedim ketika ditemui media selepas prosiding berlangsung enggan memberi sebarang komen berhubung keputusan untuk bercerai. Nedim dan Nora fokus untuk membesarkan anak bersama. Bagaimanapun dia hanya menjawab ringkas akan kekal menjaga hubungan baik dan membesarkan anak mereka bersama. Sementara itu, Nora pula berharap tidak timbul sebarang spekulasi tentang perceraian tersebut memandangkan mereka bersetuju untuk berpisah secara baik. "Saya harap tiada teori mengenai perpisahan kami. Ini kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak," jelasnya. Untuk rekod, Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl, 6 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!