PENANTIAN 11 tahun peminat untuk melihat persembahan ratu OST iaitu Ailee akhirnya terlaksana apabila penyanyi asal Korea Selatan itu muncul dengan konsert I Am: Here pada malam Sabtu. Keterujaan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Aleeans dapat dilihat apabila sejak pukul 1 petang mereka mula berkumpul di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Sebelum Ailee tampil di atas pentas, penyanyi Aina Abdul terdahulu muncul membuka tirai persembahan dengan lagu popularnya iaitu Semalam dan Terus Hidup dalam versi bahasa Korea. Aina turut menyanyikan lagu You Are My Everything nyanyian asal Gummy dan kemunculannya penuh tenaga dan mendapat tepukan gemuruh penonton. Ailee sempat bertemu media tempatan sebelum konsertnya berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur. Sementara itu, Ailee membuktikan dia bukan sahaja mampu menjentik emosi penonton menerusi lagu balada dan meruntun jiwa tetapi menampilkan sisi berbezanya pada konsert berkenaan. Buktinya, Ailee tampil di atas pentas dengan lagu rancaknya berjudul I Will Show You membuktikan dia bukan sekadar penyanyi lagu 'jiwang'. Antara 20 lagu lain yang turut dipersembahkan Ailee pada malam itu adalah U&I, Breaking Down, I Will Go To You Like the First Snow dan Mind Your Own Business. Kelebihan berbahasa Inggeris dengan baik juga membuatkan Ailee cukup mesra berinteraksi dengan penonton sepanjang tiga jam konsert berlangsung. ARTIKEL BERKAITAN: Ailee belum berani cuba durian, nak ‘repeat’ nasi goreng masa datang KL... Janji persembahan tak dapat dilupakan peminat ARTIKEL BERKAITAN: Konsert ‘I Am: Here’ Ailee 22 Jun, Aina Abdul dipilih penyanyi pembuka tirai Bagaimanapun di sebalik aksi santai dan bertenaga, Ailee mendedahkan dia sedang bertarung dengan perasaan gugup berada di atas pentas memandangkan sedang berdepan dengan masalah kemurungan. Ketika ditemui mStar sebelum konsert berlangsung, Ailee mengakui kemesraan peminat di Malaysia yang dirasai 11 tahun lalu membuatkan dia kuat dan bersemangat meneruskan konsert. Malah Malaysia adalah destinasi pertama konsert jelajahnya itu. Ailee pada sidang media itu memberitahu lagu Heaven mempunyai makna tersendiri memandangkan ia ada kena mengena dengan kisah hidupnya. Saya tidak akan berada di sini kalau tidak disebabkan Heaven. AILEE PENYANYI Penyanyi itu juga menumpahkan air mata semasa menyanyikan lagu tersebut sambil menonton paparan video daripada Aleeans yang menyentuh perasaan. "Lagu Heaven adalah lagu pertama saya dan ia mempunyai makna tersendiri. Saya tidak akan berada di sini kalau tidak disebabkan lagu itu. "Saya minta maaf sebab mengambil masa lama untuk kembali ke Malaysia. Saya sangat merindukan anda semua dan berharap konsert ini menjadi kenangan indah," katanya. Berkongsi mengenai kepakarannya dalam menjiwai setiap lagu, Ailee menganggap nyanyian sebahagian daripada lakonan yang perlu mengeluarkan emosi. Setiap kali menyanyikan lagu OST, dia akan meletakkan dirinya sebagai watak utama dalam drama agar dapat berkongsi perasaan kepada penonton. Ailee berkongsi keterujaannya untuk bertemu peminat di Malaysia. "Saya menganggap menyanyi itu sebahagian daripada lakonan dan sebab itu saya letak sebanyak mungkin emosi di dalamnya. "Setiap kali saya ingin menyanyikan lagu OST yang baru saya akan baca skrip dan melihat babak drama berkenaan sebelum melakukan rakaman lagu dan meletakkan diri saya di dalamnya," katanya lagi. Ailee bagaimanapun menyangkal emosi yang dibawa ada kaitan dengan kisah peribadinya. Namun dia mengakui seronok menyanyikan lagu OST kerana dapat berkongsi emosi kepada orang ramai. "Saya menyanyi dengan perasaan sendiri bukan hanya OST tetapi semua lagu walaupun ia tidak melibatkan hidup peribadi saya. "Rasa seronok dapat beri lebih banyak emosi untuk sesuatu perkara. Saya juga dapat pemintaan yang banyak untuk menyanyikan lagu OST," kongsinya. Ailee tidak serik untuk datang ke Malaysia lagi. Dalam pada itu, air mata Ailee sekali lagi tumpah apabila menerima kejutan kek tiga tingkat bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada 30 Mei lalu. Seluruh arena turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi istimewa buat Ailee sehingga membuatkan penyanyi tidak dapat menahan air mata. Ailee juga menerima sehelai kebaya berwarna pic hadiah daripada seorang pereka fesyen tempatan. Sebelum menutup persembahan, Ailee berjanji akan kembali ke Malaysia tahun depan untuk konsert seterusnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!