SELEPAS beberapa tahun cuba membina nama dalam bidang perniagaan, pelakon Zoey Rahman sudah boleh berasa bangga apabila jenama kosmetik keluaran syarikat miliknya iaitu Mika Series semakin menjadi pilihan dalam kalangan pengguna. Bermula secara kecil-kecilan, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman tidak menyangka hasil penat lelah selama ini membuahkan hasil sehingga produk keluarannya dijual di lebih 150 rangkaian kedai serbaneka terkemuka. Namun di sebalik kejayaan dikecapi hari ini, Zoey juga tidak terlepas berdepan dengan cabaran perniagaan apabila ada pihak cuba menjatuhkan dia. Lebih menyedihkan lagi rakan terdekat yang juga seorang selebriti sanggup bercakap buruk tentangnya kepada orang lain. mStar yang berkesempatan bertemu Zoey sempat menyelami perasaannya berdepan dugaan dalam perniagaan dan perancangannya dalam mengembangkan Mika Series. Zoey hanya memilih rakan yang boleh dipercayai. 1. Sebagai seorang usahawan, apakah antara cabaran perlu dilalui oleh Zoey untuk terus bertahan dan mempromosian produk? Apabila sudah berjaya ada sahaja yang iri hari dan cuba nak cari kesalahan. Sampai ke telinga saya sendiri seorang sahabat bercakap buruk tentang produk syarikat saya. Dia juga seorang selebriti yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan sebelum ini kami pernah berkawan baik. Malah dia juga terlibat dalam perniagaan mengeluarkan produk sama seperti saya. Apa yang saya dengar dia meremehkan produk tempatan seperti saya seolah-olah mahu menjatuhkan semangat dalam perniagaan. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak sensitif dan suka cakap lepas, punca Zoey Rahman sudah jarang ‘live’ dengan Mass Factor ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya bertentang mata, Zoey Rahman kagum usaha Mass Factor datang berjumpanya - “Dia baik dan lemah lembut orangnya” 2. Berdepan dengan situasi seolah-olah ditikam rakan sendiri, apa tindakan yang Zoey lakukan? Saya juga tidak lagi berhubung dengan selebriti tersebut. Cukuplah kami bertegur sapa hanya ketika bertemu di majlis. Lebih baik saya tidak ambil tahu tentang urusan dia. Cukuplah saya memberi sokongan dari jauh terhadap usaha perniagaan dilakukan. 3. Apa pengajaran yang Zoey dapat daripada pengalaman sebelum ini? Usia juga semakin meningkat, jadi rasanya eloklah kecilkan circle kawan-kawan untuk mereka yang betul-betul rapat sahaja. Saya juga lebih berhati-hati dan hanya berkawan dengan orang yang kita tahu perangai sebenarnya. Lebih baik menjauhkan diri daripada orang-orang yang ada perasaan dengki. Usaha keras Zoey dalam perniagaan membuahkan hasil. 4. Apakah nasihat Zoey apabila ada pihak yang cuba menjatuhkan perniagaan orang lain? Dalam apa juga bidang yang kita lakukan, pertama sekali perlulah ikhlas. Biarlah kita berjaya dengan usaha sendiri dan bukannya menjatuhkan orang lain. Dalam masa sama kita sebagai pengusaha produk tempatan harus memberi sokongan antara satu sama lain. Kalau tidak mahu sokong sekalipun tidak perlulah nak bercakap buruk atau menghentam. Bagi saya ini adalah masa untuk kita buktikan produk tempatan boleh pergi jauh seperti jenama antarabangsa. 5. Perancangan perniagaan di masa akan datang. Kalau boleh saya mahu membina legasi sendiri dan produk ini akan terus digunakan untuk jangka masa panjang. Syukur sekarang ini juga lebih ramai pengguna mula percaya akan produk keluaran tempatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!