suria

Zynakal tahan sakit, tak sanggup jahit luka di lutut... “Ini kemalangan kali kedua, cedera bahagian sama”

Zyn rela cuci luka setiap hari kerana tidak mahu sakit dijahit.

PENYANYI Zynakal bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Sentul, Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Zyn, 25, bagaimanapun berkata insiden itu menyebabkan luka lama di bahagian lututnya menjadi semakin teruk.

"Luka bahagian lutut kanan saya lebih teruk berbanding kiri. Sebab sebelum ini saya pernah terlibat dalam kemalangan dan kali ini terkena tempat yang sama membuatkan ia teruk sikit.

zynakal 2

Zyn kongsi keadaan terkini selepas kemalangan.

"Sepatutnya saya kena jahit tapi saya tolak, cuma kena cuci bersihkan luka setiap hari sebab tak tahan sakit," katanya ketika dihubungi mStar.

Berkongsi detik kejadian, Zyn berkata dia terlanggar sebuah kenderaan yang berada di parkir ketika motosikal ditunggangnya dihimpit kenderaan lain.

Menurut Zyn kerosakkan pada motosikalnya tidak terlalu teruk dan segala kos baik pulih ditanggung sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Zynakal terlibat kemalangan jalan raya, punca kereta masuk simpang tak bagi signal

ARTIKEL BERKAITAN: Zynakal berbaju Melayu putih timbul tanda tanya, kongsi khabar gembira bila sudah sedia

"Saya sebenarnya baru pulang dari Genting Highland dengan Atiq. Kami satu arah sebab itu dia ada bersama.

"Saya nak potong kereta sebenarnya tapi ada kereta menghimpit saya. Jadinya saya terlanggar kereta yang sedang parkir di situ," kongsinya.

Cerita Zyn lagi, dia juga bernasib baik apabila pemandu kereta berkenaan bertanggungjawab dan tidak lari meninggalkannya terbaring di tepi jalan.

"Bukan langgar larilah, pemilik kereta itu bertanggungjawab dan hantar saya ke klinik.

zynakal 3

Zyn berkonvoi bersama rakan-rakan ke Genting Highland.

"Cumanya pemilik kereta yang berada di tempat parkir itu saja saya tak tahu, terpaksa ke klinik untuk dapatkan rawatan dulu," ujarnya.

Sebelum ini, Zyn ada berkongsi foto memaparkan dia terbaring di pinggir jalan dengan keadaan lutut yang berdarah.

Pada Januari lalu, Zyn pernah terlibat dalam kemalangan ketika berkonvoi bersama rakan-rakannya dan mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain