PELAKON Zarina Zainuddin memaklumkan anak lelakinya iaitu Azil terpaksa menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor selepas disahkan positif influenza A pada pagi Rabu. Kata Zarina, 54, tidak mudah untuk menjaga anak austime di hospital kerana Azil atau nama sebenar Muhammad Razil Abu Raihan, 27, sering bertindak agresif dengan mencabut drip air yang dipasang pada bahagian tangannya. "Untuk menjaga anak-anak seperti Azil di hospital bukan mudah. Bila kita sedar memang bolehlah nak kawal pergerakan dia. Tapi kalau kita terlena, habis dia cabut semua wayar sampai berdarah-darah tangan. Zarina mengakui bukan mudah untuk menjaga anak autisme. "Apabila melibatkan insurans, pihak mereka hanya boleh cover untuk pemasangan jarum pertama. Banyak kali juga dia (Azil) cabut, selebihnya saya terpaksalah bayar sendiri nanti," katanya ketika dihubungi mStar. Berkongsi mengenai keadaan kesihatan anaknya itu, Zarina berkata pada mulanya dia menyangka Azil hanya mengalami demam panas namun rupa-rupanya dijangkiti virus sama daripada adiknya iaitu Adam. Menurutnya, Adam atau Muhammad Adam Azrai, 18, terlebih dahulu disahkan Influenza A selepas mengalami simptom muntah-muntah sejurus pulang berjumpa dengan rakan-rakan. ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan fitnah" - Zarina Zainuddin jawab dakwaan bibik, anak autisme tak pukul orang ARTIKEL BERKAITAN: Bangga Zarina Zainuddin anak dapat keputusan SPM 6A... "Ibu tak pandai biarlah anak pandai" "Pada mulanya anak saya Adam yang dijangkiti Influenza. Dia kan baru lepas SPM, tempoh hari dia ada minta izin untuk keluar bersama rakan-rakannya. "Balik saja rumah dia muntah-muntah. Buat pemeriksaan di hospital rupa-rupanya dia disahkan Influenza. Dia masuk wad dulu dan selepas itu Azil pula dijangkiti virus yang sama dan dimasukkan ke hospital sama," ujarnya. Bimbang melihat keadaan anaknya di hospital, Zarina berkata dia juga mempunyai tanggungjawab lain di rumah dan terpaksa menyerahkan tugas menjaga Azil kepada pembantu sekiranya dia perlu pulang ke rumah. Zarina (kiri) dikurniakan dua orang anak autisme iaitu Azil (tengah) dan Azal. "Kalau anak istimewa memang susah kita nak cakap. Bila saya balik rumah, pembantu saya akan jaga dia di hospital. "Saya juga perlu menguruskan hal anak-anak yang dirumah. Jadi setiap kali saya balik masak, Azil akan dijaga oleh pembantu saya. "Sekarang suhu badannya masih naik. Doktor nasihatkan Azil makan untuk beri tenaga dan supaya ubat yang diberikan cepat bertindak," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!