suria

Sakit kanser bukan alasan Azharina duduk diam tak keluar cari rezeki, kuatkan diri fikir positif

Azharina masih menerima undangan persembahan.

DISAHKAN menghidap kanser bukan alasan buat penyanyi Azharina untuk duduk diam dan tidak meneruskan kerjaya nyanyian.

Malah bagi Azharina Azhar, 39, dugaan yang diberikan itu juga sebagai satu ujian buat dirinya.

"Saya tidak mahu kerana sakit orang fikir saya tidak boleh kerja, menyanyi atau mencari rezeki. Rezeki ada di mana-mana.

azharina 22

Azharina mendedahkan penyakit kanser yang dialami.

"Allah beri saya sesuatu pasti ada sebab. Saya diberi kekuatan untuk menempuh semua ini. Saya tidak akan dapat sakit ini kalau tidak kuat," katanya.

Azharina berkongsi luahan tersebut dalam satu video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Khamis.

Dalam rakaman video itu dia dilihat sedang berada di lapangan terbang menunggu penerbangan ke Pulau Pinang bagi memenuhi undangan nyanyian.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Penyakit misteri akhirnya terjawab, Azharina sahkan hidap kanser

ARTIKEL BERKAITAN: Alami pendarahan teruk semasa ASGV, Azharina Azhar kongsi masalah kesihatannya... Doktor nasihat perlu jalani kimoterapi

Tambah penyanyi lagu Elergi Sepi ini lagi, sakit yang dialami itu juga bukanlah satu perkara buruk kerana dia masih mampu untuk meneruskan aktiviti harian.

"Bukan satu perkara buruk apabila ada penyakit ini. Sakit itu kan penghapus dosa. Doakan kita semua terus sihat. Apa yang anda doa untuk saya, saya doakan untuk anda kembali.

"Syukur Allah masih beri kesihatan baik dan peluang untuk saya mencari rezeki serta membesarkan anak-anak," ujarnya.

azharina 5656

Azharina terus aktif menyanyi.

Sentiasa perfikirkan positif, Azharina juga berpegang pada prinsip bahawa ada insan lain yang berdepan dugaan lebih besar berbanding dirinya.

"Kalau saya sedih atau sakit, saya percaya ada orang yang lebih susah. Jadi selalulah berfikirkan positif," luahnya.

Pada Rabu, Azharina mendedahkan dirinya menghidap kanser dan perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat.

Dia bagaimanapun tidak dapat berkongsi jenis kanser yang dihidapi memandangkan masih perlu menjalani beberapa lagi pemeriksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain